![Image from: [VIDEO] Polong ‘bergerak’ dalam kebun getah dekat kubur di Rembau](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/POLONG.jpeg)
REMBAU – Penduduk di sini gempar dengan penemuan objek berbentuk bulat seperti api yang dilihat bergerak ke depan dan belakang yang didakwa sebagai ‘polong’ di sebuah kebun getah berhampiran tanah perkuburan di daerah ini baru-baru ini.
Kejadian yang dirakam seorang wanita, Shahirah Haris, 33, itu berlaku kira-kira pukul 7 malam pada 11 Ogos lalu ketika dia datang untuk menziarahi pusara bapanya bersama anaknya.
Menurut Shahirah, dia menyedari pergerakan objek berkenaan ketika mahu turun dari kenderaan untuk membuka pagar tanah perkuburan sebelum sempat merakam kejadian tersebut.
“Saya perasan seperti ada pergerakan api di dalam kawasan kebun getah tersebut. Saya melihat dengan jelas bentuk ‘benda’ itu yang bulat dan seperti api,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, objek tersebut dilihat bergerak ke depan dan belakang selama kira-kira tiga hingga empat minit sebelum seakan-akan tersangkut selepas dia menegurnya dengan berkata ‘apa tu’.
“Saya sempat merakam, tetapi mengambil keputusan untuk balik kerana sedang membawa anak kecil dan tidak mahu merisikokan anak,” katanya.
Shahirah berkata, selepas kejadian dia meminta kakak saudaranya memeriksa lokasi berkenaan, namun objek tersebut sudah tiada dan kejadian sama tidak lagi berulang selepas video berkenaan tular.
Video berdurasi seminit itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi masyarakat termasuk dakwaan turut sama melihat kejadian berkenaan di kawasan tanah perkuburan tersebut pada waktu lain. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Polong ‘bergerak’ dalam kebun getah dekat kubur di Rembau appeared first on Kosmo Online.






