Najib belum jelaskan denda RM50 juta, kekal di penjara : Peguam Negara

LocalPolitics
1 Nov 2026 • 1:36 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Najib belum jelaskan denda RM50 juta, kekal di penjara : Peguam Negara

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih belum membayar denda RM50 juta yang disyaratkan bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar bagaimanapun berkata tiada tempoh bayaran ditetapkan untuk pembayaran tersebut.

Mohd Dusuki turut mengesahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan kekal di penjara selagi denda tersebut belum dibayar.

“Setakat ini maklumat yang kami terima belum lagilah dipenuhi oleh Datuk Seri Najib. Setakat ini,’’ katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Sekolah Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan Pasir Hor, di Kelantan, hari ini.

Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Perintah itu tertakluk sekiranya Najib membayar denda berkenaan.

Pada September lalu, peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu, susulan pembekuan harta dan beberapa akaun, keadaan kewangan Najib ketika ini tidak membolehkannya menyediakan jumlah berkenaan, yang merupakan syarat utama pengampunan bersyarat ke atas beliau.

Ini kerana sebahagian sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan prosiding penguatkuasaan oleh kerajaan serta pelupusannya pada masa ini bukan di bawah kawalan tunggal beliau.

Pada 26 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ke atas Najib selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Beliau memfailkan rayuan pada 29 Disember 2025.

Dalam kes sivil pula, Mahkamah Tinggi pada 31 Mac lepas memerintahkan Najib membayar balik USD1.3 bilion kepada SRC International selepas didapati melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi, namun pembayaran itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.

Najib turut berdepan dua lagi saman, masing-masing oleh SRC International dan Gandingan Mentari Sdn Bhd pada 2021 serta saman sivil USD5.64 bilion oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya, yang masih dalam prosiding mahkamah. - 1 November, 2026

The post Najib belum jelaskan denda RM50 juta, kekal di penjara : Peguam Negara appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved