KOTA BHARU - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum menjelaskan denda RM50 juta berdasarkan maklumat terkini yang diterima Jabatan Peguam Negara (AGC).
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, tiada tempoh khusus ditetapkan bagi pembayaran denda berkenaan.
"Setakat ini, maklumat yang kami terima belum lagilah dipenuhi oleh Datuk Seri Najib. Setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Sekolah Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan Pasir Hor di sini pada Ahad.
Ditanya sama ada Najib masih perlu menjalani hukuman penjara selagi denda itu belum dibayar, Mohd Dusuki mengesahkan perkara berkenaan.
Pada 18 September lepas, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Perintah itu tertakluk sekiranya Najib membayar denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara.
Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan hukuman itu kemudiannya dikekalkan Mahkamah Rayuan pada Disember 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.
Bagaimanapun menerusi mesyuarat ke-61 pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan bahawa hukuman penjara bekas Ahli Parlimen Pekan itu dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Sementara itu, pada 26 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ke atas bekas Perdana Menteri itu selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.
Beliau memfailkan rayuan pada 29 Disember 2025.
Dalam kes sivil pula, Mahkamah Tinggi pada 31 Mac lepas memerintahkan Najib membayar balik AS$1.3 bilion kepada SRC International selepas didapati melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi, namun pembayaran itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.
Najib turut berdepan dua lagi saman, masing-masing oleh SRC International dan Gandingan Mentari Sdn Bhd pada 2021 serta saman sivil AS$5.64 bilion oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya, yang masih dalam prosiding mahkamah. - Bernama






