Najib dibenarkan jalani baki hukuman secara tahanan di rumah, namun tertakluk bayar denda RM50 juta

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 2:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Najib dibenarkan jalani baki hukuman secara tahanan di rumah, namun tertakluk bayar denda RM50 juta Image from: Najib dibenarkan jalani baki hukuman secara tahanan di rumah, namun tertakluk bayar denda RM50 juta hamden18/09/2026 - 14:50 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Sept - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diberikan kebenaran menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap semua syarat yang ditetapkan.

 

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib.

 

Menurut kenyataan itu, Najib perlu mematuhi semua syarat yang dikenakan di bawah pengampunan bersyarat berkenaan sepanjang tempoh tahanan di rumah.

 

"Jika beliau gagal mematuhi mana-mana syarat tersebut, pengampunan bersyarat itu akan terbatal dan beliau perlu serta-merta meneruskan baki hukumannya di penjara," kata kenyataan itu.

 

Najib, 73, kini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang selepas Lembaga Pengampunan pada Februari 2024 mengurangkan hukuman asal 12 tahun sebanyak separuh.

 

Denda yang dikenakan terhadapnya turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

 

Najib menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitannya dalam kes SRC International.

 

Beliau didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta milik SRC International, bekas unit 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

 

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

 

Najib dibawa ke Penjara Kajang pada hari sama untuk mula menjalani hukuman, sekali gus menjadi bekas Perdana Menteri Malaysia pertama dipenjarakan selepas disabitkan kesalahan jenayah.

 

Beliau kemudiannya mengemukakan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja.

 

Lembaga Pengampunan bermesyuarat pada Januari 2024 dan mengumumkan hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta.

 

Berdasarkan keputusan itu, tarikh pembebasan beliau ditetapkan pada 23 Ogos 2028.

 

Bagaimanapun, kegagalan membayar denda RM50 juta akan menyebabkan tambahan hukuman penjara selama satu tahun, sekali gus melanjutkan tarikh pembebasan kepada 23 Ogos 2029.

 

Keputusan terkini Lembaga Pengampunan mengekalkan 23 Ogos 2028 sebagai tarikh tamat hukuman, namun membenarkan baki hukuman dijalani secara tahanan di rumah, tertakluk kepada pembayaran RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat pengampunan bersyarat yang baharu.

 

Lembaga Pengampunan minggu lalu menangguhkan permohonan pengampunan Najib pada persidangan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved