Najib Ke Penjara: Pemimpin Politik Terus Beri Reaksi Berbeza…

Politics
24 Aug 2022 • 7:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Rayuan Najib Razak di Mahkamah Persekutuan ditolak. - Gambar oleh Azim Rahman

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd semalam, menjadi ‘sejarah’ apabila akan terus diulas dan dihakimi rakyat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia memandangkan Najib dikenali sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada negara dalam memperjuangkan keharmonian semua bangsa, selain berusaha memastikan kemajuan Malaysia diperkasakan.

“Beliau (Najib) anak Perdana Menteri (Tun Abdul Razak), namun telah melantik saya, anak penoreh getah sebagai Timbalan Menteri sebelum ini dan tidak akan saya lupa.

“Kes ini akan terus diulas. Rakyat juga sedang menghakimi. Diharap beliau dan keluarga terus tabah,” ciapnya menerusi Twitter.

Ciapan tersebut dibuat kira-kira sejam selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib berhubung kes penyelewengan dana SRC International.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes penyelewengan dana terbabit.

Panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu.

“Rayuan ini dengan sebulat suara ditolak dan sabitan dan hukuman dikekalkan.

“Saya dengan ini mengumumkan waran komital (perintah menjalani hukuman penjara),” katanya yang memerintahkan prosiding tamat.

Beliau turut mengarahkan Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun berkuat kuasa pada hari sama.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau secara peribadi amat bersimpati dengan Najib dan seluruh ahli keluarganya.

Beliau berkata, sebagai rakan seperjuangan dalam UMNO, walau apa pun berlaku, jasa dan khidmat bakti Najib kepada parti serta negara tidak boleh dinafikan.

“’Justice hurried is justice buried’ adalah satu frasa yang boleh kita hayati bersama dalam situasi ini,” katanya.

Turut menyentuh keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menegaskan, tiada sesiapa mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada undang-undang di Malaysia.

“Peringatan kepada kita semua. Marilah kita bersama membina semula Malaysia tercinta,” ciapnya. – Getaran, 24 Ogos 2022