KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menarik nafas lega selepas dibenarkan menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, di sini, berkuat kuasa serta-merta.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 73 tahun itu sudah sekian lama menantikan keputusan berkenaan.
“Ini merupakan satu kelegaan dan petanda yang baik kerana beliau sudah lama menunggu perkara ini.
“Saya fikir, beliau layak mendapat perintah tersebut kerana telah melepasi lebih 50 peratus tempoh pemenjaraannya,” katanya pada sidang akhbar selepas prosiding semakan perintah pelepasan di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Beliau berkata, banduan lain juga berpeluang menikmati bentuk keringanan hukuman seperti pengampunan dan sebagainya.
Menurutnya, tahanan rumah yang diberikan kepada bekas Presiden UMNO itu tetap merupakan satu bentuk pemenjaraan kerana tidak boleh meninggalkan kediaman tanpa keizinan khas.
Pada Selasa, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin membatalkan perintah pelepasan yang dikeluarkan Jumaat lalu sebelum menggantikannya dengan perintah baharu.
Menerusi keputusan itu, Najib dibenarkan menghabiskan baki hukuman penjara yang telah dikurangkan di kediamannya di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028.
Pada 6 November lalu, Najib melunaskan denda RM50 juta di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi di sini bagi memenuhi syarat pelaksanaan tahanan rumah.
Bagaimanapun, beliau dibawa kembali ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Perkembangan itu turut menyusul selepas Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menyentuh isu kecacatan pada perintah pelepasan berkenaan.
Beliau berkata, penelitian sewajarnya ketika menyediakan dokumen rasmi penting bagi mengelakkan sebarang pertikaian, khususnya berkaitan ketepatan penggunaan istilah undang-undang.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pengubahan wang haram serta satu salah guna kedudukan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 sebelum mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September tahun sama.
Pada 18 September lalu, bekas pemimpin UMNO itu mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang membolehkan baki hukuman berkenaan dijalani menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.




![[VIDEO] Najib tiba di Langgak Duta, sambung baki hukuman di rumah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/e6bdb7b6-beba-40c6-9942-65f3582857d8-1024x683.jpeg)

