Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Suasana di kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur dikatakan sedang dikawal oleh sepasukan anggota polis.
Menerusi laporan Berita Harian, kawasan laluan masuk ke kediaman itu diperketatkan dipercayai sebagai persediaan sekiranya Najib dibenarkan pulang ke kediamannya bagi menjalani baki hukuman penjara menerusi perintah tahanan rumah.
Difahamkan, Najib berkemungkinan dibenarkan pulang selepas dilaporkan sudah menjelaskan bayaran yang ditetapkan.
Menurut sumber, sekumpulan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dilihat mula berkumpul di kawasan kediaman tersebut seawal jam 10.30 pagi sebelum Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam bersama timbalannya tiba di lokasi sama.
Tinjauan di lokasi mendapati hampir 30 anggota polis bersama beberapa kenderaan pasukan keselamatan telah ditempatkan bagi memantau keadaan sekitar.
Malah, pihak polis turut memasang pita garisan keselamatan bagi menghalang orang awam daripada menghampiri kediaman berkenaan.
Artikel berkaitan: Rosmah Terharu Sumbangan Tabung Solidariti Najib, Dedah Terima Derma Dari Brunei, Itali & Kanada
Artikel berkaitan: “Belum cukup lagi” – Asyraf Wajdi Tepis Dakwaan DS Najib Akan Bayar Denda RM 50 Juta
Najib dijangka pulang selepas solat Jumaat?
Dalam pada itu, berdasarkan maklumat yang diterima, Najib dikatakan dijangka pulang ke kediamannya selepas solat Jumaat petang ini.
Mengulas mengenai persiapan tersebut, Anuar Bakri berkata, pihaknya sudah mengambil langkah awal bagi memastikan kawalan keselamatan sekiranya bekas Perdana Menteri itu dibenarkan menjalani perintah tahanan rumah hari ini.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang pengesahan mengenai perkara itu.
“Setakat ini, kami belum memperoleh sebarang maklumat tepat, namun kami bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan,” katanya.

Rosmah dakwa tak tahu ada wakil bayar denda RM50 juta untuk Najib
Dalam perkembangan lain, Datin Seri Rosmah Mansor mendakwa tidak tahu ada wakil yang hadir ke kompleks mahkamah untuk membayar denda RM50 juta yang dikenakan terhadap suaminya.
Rosmah berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan berhubung perkara itu, termasuk kemungkinan pembayaran denda berkenaan dilakukan.
“Saya tidak tahu, keluarga juga tidak dimaklumkan mengenainya,” katanya ketika ditemui media selepas hadir bagi pengurusan kes solar hibrid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Rosmah memaklumkan bahawa beliau tidak terbabit dalam urusan kutipan dana untuk membantu pembayaran denda berkenaan, sebaliknya perkara itu diuruskan sepenuhnya oleh UMNO.
Sumber: Berita Harian
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.





