Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden mempersoalkan pendirian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang mahu melepaskan jawatannya apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mula menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.

Foto: Free Malaysia Today
Memetik laporan Sinar Hraian, Afnan menyifatkan situasi itu sebagai suatu jenaka kerana pengunduran ahli politik terbabit dilihat bergantung kepada perkembangan bekas Perdana Menteri itu.
“Hebat juga Najib, situasi beliau boleh menentukan bila nak letak jawatan.
“Beliau dilaporkan nak tunggu Najib balik rumah, baru kuat kuasa letak jawatan. Ini memang lawak,” katanya.
Menurut Afnan, sekiranya keputusan untuk berundur daripada Kabinet dibuat atas dasar prinsip, ia sepatutnya dilaksanakan tanpa perlu menunggu perubahan lokasi Najib menjalani hukumannya.
Beliau berpandangan prinsip yang menjadi asas kepada sesuatu keputusan tidak seharusnya berubah atau tertangguh hanya kerana pelaksanaannya melibatkan sama ada Najib masih berada di penjara atau sudah menjalani tahanan di rumah.
“Orang yang ada prinsip, kalau janji nak letak jawatan, letak sahajalah.
“Prinsip tak perlu ikut tempat atau lokasi. Prinsip tidak perlu tunggu sama ada duduk dalam penjara atau balik rumah,” jelasnya.
Afnan turut merujuk kepada keputusan berkaitan tahanan rumah Najib yang telah diumumkan, namun pelaksanaannya tertakluk kepada syarat ditetapkan.
“Keputusan dah ada, cuma keputusan itu belum kuat kuasa lagi, mungkin sebab belum jelaskan bayaran denda RM50 juta.
“Kalau beliau ada prinsip, sepatutnya terus letak jawatan lepas keluar keputusan, bukan tunggu Najib balik rumah,” katanya lagi.
Terdahulu, Anthony mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, beliau diminta meneruskan tugas sebagai Menteri Pengangkutan buat sementara waktu dan berkata peletakan jawatannya akan berkuat kuasa apabila Najib keluar dari penjara untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Keputusan Anthony untuk berundur dibuat susulan pendirian DAP terhadap isu tahanan rumah Najib. Beliau sebelum ini menjelaskan bahawa tindakannya meletakkan jawatan adalah bagi menegaskan pendirian parti berhubung perkara tersebut.
Sumber: Sinar Harian (Noor Ainon Mohamed)






