Pesawat elektrik terbesar berjaya diterbangkan

WorldTechnology
18 Aug 2026 • 10:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pesawat elektrik terbesar berjaya diterbangkan

IMPIAN untuk melihat pesawat penumpang berkuasa elektrik bukan lagi sekadar konsep di atas kertas tetapi telah menjadi realiti dan bakal menjadi jentera untuk sektor penerbangan.

Kejayaan ini tercapai apabila Heart Aerospace berjaya menerbangkan X1, yang kini diiktiraf sebagai pesawat elektrik terbesar pernah melakukan penerbangan.

Penerbangan sulung itu berlangsung pada 12 Ogos 2026 di pangkalan ujian Heart Aerospace di Plattsburgh International Airport, New York, Amerika Syarikat (AS) sekali gus menjadi perkembangan penting dalam usaha industri penerbangan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.

Misi ujian selama 27 minit itu menyaksikan X1 mencapai ketinggian kira-kira 1,100 kaki (335 meter) dan sistem pendorongan elektriknya menghasilkan lebih satu megawatt kuasa.

Menurut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Heart Aerospace, Anders Forslund, X1 disifatkan sebagai platform penting untuk mengesahkan aerodinamik, sistem elektrik, kawalan penerbangan, avionik (gabungan aviation dan elektronik) serta integrasi keseluruhan sebelum teknologi berkenaan dibawa ke peringkat pesawat penumpang.

“X1 merupakan demonstrator berskala penuh yang dibangunkan untuk menguji keupayaan penerbangan elektrik pada saiz yang lebih hampir kepada pesawat komersial.

“Berbeza dengan pesawat konvensional yang bergantung kepada enjin turbin dan bahan api jet, X1 menggunakan sistem bateri elektrik sepenuhnya,” katanya dalam satu artikel di portal Interesting Engineering.

Tambahnya, pesawat itu mempunyai rentang sayap sekitar 106 kaki (32 meter), panjang 76 kaki (23 meter) dan berat berlepas melebihi 10 tan.

Salah satu inovasi utama X1 ialah pendekatan pembangunan secara menyeluruh atau full-stack aircraft development.

Heart Aerospace bukan sekadar menggantikan enjin pembakaran dengan motor elektrik, sebaliknya syarikat itu membangunkan struktur, sistem kuasa, bateri, elektronik kuasa, kawalan penerbangan dan sistem avionik sebagai satu ekosistem yang saling berkait.

Image from: Pesawat elektrik terbesar berjaya diterbangkan
ANTARA petugas Heart Aerospace yang terlibat dalam kejayaan penerbangan sulung X1.

Pendekatan ini penting kerana elektrifikasi pesawat memerlukan reka bentuk semula hampir keseluruhan seni bina pesawat.

Ketua Pegawai Teknologi Heart Aerospace, Benn Stabler berkongsi, sistem elektrik bukan lagi hanya menyokong peralatan seperti avionik dan lampu tetapi menjadi nadi kepada sistem pendorongan utama.

“Empat motor elektrik berkuasa tinggi menjadi antara komponen terpenting X1. Keseluruhan sistem pendorongan menggunakan tenaga bateri untuk memutarkan kipas dan menghasilkan tujahan tanpa pembakaran bahan api ketika penerbangan.

“Selain mengurangkan pelepasan karbon secara langsung, sistem sedemikian mempunyai potensi mengurangkan bunyi dan kos penyelenggaraan kerana motor elektrik mempunyai reka bentuk mekanikal yang lebih ringkas berbanding enjin pembakaran,” ujarnya.

Namun begitu, Stabler menambah, cabaran terbesar masih terletak pada bateri kerana ketumpatan tenaga bateri jauh lebih rendah berbanding bahan api penerbangan.

Justeru, setiap kilogram bateri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin melalui reka bentuk aerodinamik, kecekapan motor dan pengurusan tenaga yang optimum.

Pun begitu, X1 bukan pesawat yang akan membawa penumpang secara komersial. Ia adalah ‘makmal terbang’ bagi membangunkan ES-30, pesawat serantau hibrid-elektrik 30 tempat duduk yang menjadi sasaran komersial Heart Aerospace.

Image from: Pesawat elektrik terbesar berjaya diterbangkan
X1 merupakan pesawat elektrik sepenuhnya.

Berbeza dengan X1 yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, ES-30 direka menggunakan sistem Independent Hybrid.

Pesawat itu dirancang mempunyai jarak penerbangan sehingga 200 kilometer menggunakan kuasa bateri sepenuhnya, manakala sistem hibrid membolehkan jarak meningkat sehingga 800 kilometer. Heart Aerospace menyasarkan pensijilan jenisnya pada 2031.

Stabler menjelaskan, konsep hibrid tersebut menunjukkan pendekatan lebih pragmatik dalam menangani masalah ketumpatan tenaga bateri.

“Untuk penerbangan jarak pendek, ES-30 boleh beroperasi menggunakan tenaga elektrik tanpa pelepasan karbon ketika berada di udara.

“Bagi perjalanan lebih jauh atau ketika memerlukan kuasa tambahan, enjin turboprop digunakan bagi memperluas jarak operasi,” hurainya.

Katanya lagi, strategi ini membolehkan teknologi elektrik diperkenalkan ke dalam penerbangan serantau tanpa menunggu sehingga bateri mencapai tahap ketumpatan tenaga yang setanding dengan bahan api jet.

Dari aspek ekonomi pula, teknologi elektrik berpotensi mengubah struktur kos penerbangan serantau. Heart Aerospace menganggarkan ES-30 mampu mengurangkan kos operasi lebih 40 peratus berbanding pesawat serantau konvensional.

Penjimatan itu datang daripada kos tenaga elektrik yang lebih rendah, penyelenggaraan sistem pendorongan yang lebih ringkas serta kecekapan operasi.

Jika sasaran tersebut dapat dicapai, pesawat elektrik berpotensi menghidupkan semula laluan udara jarak pendek yang selama ini kurang menguntungkan syarikat penerbangan.

Penerbangan X1 juga penting dari sudut pembangunan industri kerana ia membuktikan teknologi elektrik boleh diperluas daripada pesawat kecil kepada platform dengan saiz yang jauh lebih besar.

Sebelum ini, beberapa projek seperti Eviation Alice telah menguji penerbangan elektrik bagi kategori komuter, tetapi X1 membawa cabaran pada skala yang lebih besar.

Eviation sendiri memasarkan Alice sebagai pesawat komuter elektrik sepenuhnya dengan konfigurasi sehingga sembilan tempat duduk.

Perkembangan X1 bagaimanapun tidak bermakna era pesawat elektrik komersial sudah bermula sepenuhnya. Pesawat demonstrator masih perlu menjalani pelbagai ujian sebelum teknologi tersebut boleh diterjemahkan kepada operasi penumpang.

Pensijilan, keselamatan bateri, pengurusan haba, infrastruktur pengecasan, jangka hayat bateri dan prestasi dalam pelbagai keadaan cuaca masih menjadi antara persoalan utama yang perlu dijawab.

Kajian saintifik turut menunjukkan bahawa batasan ketumpatan tenaga bateri masih menjadi faktor utama yang mengehadkan penerbangan elektrik kepada laluan lebih pendek. Namun, penerbangan sulung X1 pada Ogos 2026 tetap menjadi detik penting dalam sejarah penerbangan.

Ia menunjukkan bahawa elektrifikasi tidak semestinya bermula dengan menggantikan pesawat besar seperti Boeing atau Airbus secara terus, sebaliknya boleh berkembang melalui segmen penerbangan serantau terlebih dahulu.

Jika pembangunan ES-30 berjaya mengikut perancangan dan teknologi bateri terus berkembang, pesawat seperti X1 boleh dilihat sebagai batu loncatan kepada penerbangan generasi baharu yang lebih senyap, cekap tenaga dan rendah karbon.

Buat masa ini, X1 bukan sekadar pesawat terbesar yang pernah terbang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, tetapi juga simbol bahawa masa depan penerbangan semakin bergantung kepada inovasi elektrik, perisian dan kejuruteraan generasi baharu.

The post Pesawat elektrik terbesar berjaya diterbangkan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved