‘Nak Bahas Tentang Saya Atau TH?’, PM Persoal Tindakan PN Keluar Dewan

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 3:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

‘Nak Bahas Tentang Saya Atau TH?’, PM Persoal Tindakan PN Keluar Dewan

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan keutamaan Perikatan Nasional (PN) selepas Ahli Parlimen gabungan itu bertindak meninggalkan Dewan Rakyat ketika sidang khas membincangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) hari ini.

Anwar berkata, perhatian sepatutnya diberikan kepada isu dan penemuan berkaitan pengurusan TH, bukannya mempolitikkan ketidakhadirannya dalam persidangan berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri turut mempersoalkan sama ada pembangkang lebih berminat membahaskan ketidakhadirannya atau meneliti kandungan laporan RCI yang mengupas isu berkaitan pengurusan dana haji itu.

“Nak bahas tentang saya, atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya, atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?”, soalnya keras. 

Tegas Perdana Menteri, isu berkenaan membabitkan jutaan pendeposit TH, termasuk rakyat biasa yang bertungkus-lumus mengumpulkan simpanan demi menunaikan ibadah haji.

Beliau turut membangkitkan nasib golongan seperti nelayan, petani, guru, anggota polis, tentera dan pesara yang menyimpan wang mereka di TH, sambil mempersoalkan sama ada kepentingan mereka sedang diketepikan akibat pertikaian politik.

“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam. 

“Apakah PN yang ditunjangi PAS tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?” soalnya, sinis. 

Ahli Parlimen PN bertindak meninggalkan Dewan Rakyat selepas permintaan mereka untuk menangguhkan sidang khas berkenaan ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, sebelum itu memohon agar persidangan ditangguhkan dengan alasan ketidakhadiran Anwar penting kerana beliau bukan sahaja Perdana Menteri, malah Menteri Kewangan yang sepatutnya hadir bagi memberikan penjelasan menyeluruh berhubung laporan RCI tersebut.

Bagaimanapun, Johari memutuskan sidang khas itu diteruskan, dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, menyampaikan taklimat berhubung laporan berkenaan.

Anwar tidak menghadiri persidangan selepas menjalani prosedur pembedahan laparoskopi elektif bagi merawat hernia paraumbilikal.

Beliau dijangka terus berada di bawah pemerhatian perubatan selama dua hari. - Getaran, 11 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved