‘Nak Ikut Dia’ – Lelaki Dakwa Alami Kejadian Misteri Ketika Pulang Dari Melaka

1 Jun 2026 • 7:11 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: ‘Nak Ikut Dia’ – Lelaki Dakwa Alami Kejadian Misteri Ketika Pulang Dari Melaka

KUALA LUMPUR – Satu perkongsian oleh pengguna media sosial, Ridwan Yusof, yang mendakwa mengalami gangguan misteri ketika dalam perjalanan pulang dari Melaka menjadi perhatian ramai.

Menerusi hantaran yang telah meraih lebih 800,000 tontonan itu, Ridwan mendakwa isterinya yang sedang memandu tiba-tiba mengadu kakinya terasa berat sehingga sukar menekan pedal minyak ketika melalui laluan Dangi-Selaru-Johol di Kuala Pilah.

Menurutnya, keadaan isterinya semakin pelik apabila wanita itu dilihat menangis dan berulang kali menyebut perkataan “nak ikut”.

“Cari tempat terang, park tepi jalan dan tukar pemandu. Wife masuk terus tak sedar kemudian menangis cakap ‘nak ikut’,” tulisnya.

Ridwan turut mendakwa dia membaca Ayatul Kursi sebelum meminta perkara yang didakwa mengganggu mereka meninggalkan kenderaan tersebut.

Dakwa Laluan Berkenaan Sudah Lama Dikaitkan Dengan Kisah Misteri

Dalam perkongsian susulan, dia menjelaskan laluan berkenaan sememangnya sering dikaitkan dengan pelbagai cerita misteri dalam kalangan penduduk setempat.

Menurutnya lagi, isterinya mula mengadu kaki terasa berat sebelum sampai ke kawasan Tokong Lama dan keadaan itu menyebabkan mereka berasa tidak sedap hati.

“Jalan ni memang koreh. Mano orang area Kuala Pilah, Tampin memang tahu. Bawak dari Jalan Dangi, Selaru, Johol memang line dio melinteh menumpang,” katanya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen di ruangan komen.

Ada yang mendakwa pernah mengalami pengalaman pelik ketika melalui laluan sama, termasuk tersesat walaupun menggunakan jalan yang betul serta berasa seolah-olah dipandu mengelilingi kawasan yang sama beberapa kali.

Malah, ada juga netizen berkongsi pengalaman melihat kelibat misteri di tepi jalan selain mendakwa kenderaan menjadi berat secara tiba-tiba ketika melalui kawasan berkenaan.

Namun begitu, terdapat segelintir pengguna berpendapat keadaan itu mungkin berpunca daripada faktor keletihan dan mengantuk memandangkan kejadian didakwa berlaku sekitar awal pagi.

Apa pun, kisah yang dikongsikan Ridwan itu terus menjadi bualan hangat netizen dan menghidupkan semula pelbagai cerita misteri yang sering dikaitkan dengan laluan Kuala Pilah-Melaka.

Persoalannya, adakah ia benar-benar gangguan mistik seperti didakwa atau sekadar kebetulan yang berlaku ketika perjalanan pada waktu awal pagi? – The Malaysian Update

The post ‘Nak Ikut Dia’ – Lelaki Dakwa Alami Kejadian Misteri Ketika Pulang Dari Melaka appeared first on The Malaysian Update.