BUKIT MERTAJAM – “Keluarga memang masih berharap dia selamat. Naluri ibu pula mengatakan dia sudah terlepas daripada tempat kejadian dan mungkin sudah ke atas.”
Demikian luahan keluarga pendaki, Muhammad Zaki Othman, 29, yang dilaporkan gagal dihubungi ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal.
Kakaknya, Siti Nur Atiqah Mat Zin, 37, berkata, keluarganya kekal positif dan percaya adiknya yang merupakan anak lelaki tunggal itu masih berada dalam keadaan selamat.
“Cuma mungkin dia kehilangan telefon bimbitnya. Ibu masih mengharap dan kita semua cuba fikir positif,” katanya sebak ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Muhammad Zaki dari Kubang Semang, di sini, bersama rakannya, Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, dari Gelugor dan Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, dari Kulim, Kedah, dilaporkan gagal dihubungi ketika menjalankan aktiviti pendakian di Langtang Valley.
Siti Nur Atiqah berkata, Muhammad Zaki yang bekerja sebagai jurutera di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri di Pejabat Daerah Jawi berlepas ke Nepal pada 23 Ogos lalu bersama dua rakannya untuk melakukan aktiviti pendakian.
Katanya, Muhammad Zaki sepatutnya pergi bersama empat rakannya, namun seorang daripada mereka terpaksa menarik diri kerana mempunyai urusan kecemasan.
“Sepatutnya empat orang pergi, tiga daripada mereka bekerja di ICU dan seorang lagi rakannya yang bekerja di sebuah kilang di Kulim.
“Tetapi seorang daripada mereka tidak jadi pergi kerana ada kecemasan, jadi hanya tiga orang meneruskan perjalanan,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Nur Atiqah berkata, keadaan ibu mereka kini agak terjejas susulan gagal menghubungi Muhammad Zaki.
“Ibu tidur pun tidak lena, makan pun tidak lalu. Tetapi ayah kuat semangat dan ibu pula cuba untuk terus positif.
“Dia anak lelaki seorang daripada empat beradik dan merupakan anak ketiga. Sebab itu kami sangat berharap dia ditemukan dalam keadaan selamat,” katanya.
Sementara itu, bapa Muhammad Zaki, Othman Md Zin, 67, berkata kali terakhir anak ketiganya itu berhubung dengan ibunya menerusi panggilan WhatsApp pada malam Isnin lalu selepas tiba di Kathmandu.
“Dia maklumkan sudah sampai di Kathmandu dan turut menghantar gambar bilik tempat mereka menginap.
“Ibunya bertanya keadaan di sana dan berpesan supaya jangan lupa membaca doa. Selepas itu, ibunya minta dia berehat kerana keesokan harinya sudah mula mendaki,” katanya.
Othman berkata, selepas Muhammad Zaki memulakan pendakian pada Selasa, keluarga sememangnya menjangkakan mereka tidak dapat berhubung kerana kawasan berkenaan dipercayai tidak mempunyai liputan komunikasi.
Bagaimanapun, katanya, mesej yang dihantar keluarga kepada Muhammad Zaki pada Rabu hanya menunjukkan satu tanda (one tick) sehingga kini.
“Selasa dia sudah mula ‘hiking’ dan memang dia sudah beritahu awal-awal tidak akan ada talian sehingga mereka sampai ke hotel atau lokasi yang mempunyai liputan.
“Namun, sejak Rabu mesej yang dihantar hanya satu tanda dan kami masih tidak menerima sebarang perkembangan,” katanya.
Menurut Othman, dia sememangnya mengetahui hasrat anaknya untuk melakukan aktiviti pendakian berkenaan dan turut mengetahui persiapan yang dibuat sebelum berlepas.
Katanya, pihak ICU dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang turut mengambil perhatian terhadap perkembangan pencarian berkenaan.
“Semalam pihak ICU dari Kuala Lumpur datang bersama pihak ICU Pulau Pinang. Mereka juga masih menunggu maklumat mengenai keadaan anak saya dan dua rakannya,” ujarnya.
Othman berkata, Muhammad Zaki sepatutnya pulang ke Malaysia pada Sabtu lalu dengan penerbangan dari Nepal pada jam 6 petang.
“Dia memang suka aktiviti lasak dan ‘hiking’ memang sukan kesukaan dia.
“Masa dia beritahu nak pergi ke Nepal, saya tak rasa apa-apa sebab tahu kesukaan dia,” katanya lagi.
Menurutnya, dia dan keluarga kini hanya mampu berdoa serta menunggu perkembangan terkini daripada pihak berkuasa dan agensi berkaitan.
“Ketika ini, hanya usaha mengadakan solat hajat dan bacaan surah Yasin di beberapa masjid iaitu Masjid Jamek Kubang Ulu, Masjid Jalan Tengah Berapit, Masjid Jamek Kubang Semang dan Masjid Penaga,” katanya lagi.






