
PETALING JAYA: Tiga rakyat Malaysia yang melakukan aktiviti pendakian secara solo di Langtang Valley, Nepal dilaporkan masih gagal dihubungi selepas banjir besar yang melanda negara itu.
Ketiga-tiga mereka yang dikenali sebagai Zaki, Adib dan Muhaimin dipercayai memulakan pendakian di kawasan berkenaan pada 26 Ogos lalu.
Rakan mereka menerusi perkongsian di Threads memaklumkan mesej terakhir diterima daripada tiga individu itu pada pukul 10.42 pagi waktu Malaysia manakala lokasi terakhir mereka dikesan adalah berhampiran Bokhe Koshi.
“Tiga orang rakan kami masih belum dapat dihubungi. Mereka bertiga sepatutnya mendaki di Langtang Valley, Nepal sejak 26 Ogos.
“Mesej terakhir diterima pada pukul 10.42 pagi waktu Malaysia dan lokasi terakhir yang dikesan adalah berdekatan Bokhe Koshi. Mohon doakan keselamatan mereka,” katanya kelmarin.
Menurut pengguna akaun Emyliatahar itu, kehilangan ketiga-tiga individu berkenaan sudah dilaporkan kepada Kedutaan Malaysia dan Kementerian Luar.
Bagaimanapun katanya, waris masih menanti sebarang perkembangan mengenai keadaan dan keberadaan mereka.
“Kami sudah melaporkan kehilangan mereka bertiga kepada kedutaan dan Wisma Putra tetapi sejak pukul 8 pagi semalam tadi masih belum ada sebarang berita yang saya atau waris terima daripada pihak di sana.
“Hampir 50 jam berlalu, namun kami masih belum menerima sebarang perkembangan daripada mereka atau kedutaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, solat hajat akan diadakan di Masjid Tengah, Bukit Mertajam bagi mendoakan keselamatan Zaki, Adib dan Muhaimin.
Sebelum ini, Kementerian Luar menerima laporan daripada ahli keluarga, rakan dan majikan berhubung 57 warganegara Malaysia yang masih belum dapat dihubungi semalam susulan banjir besar di Daerah Rasuwa, Nepal.-UTUSAN.
The post ‘Mereka bertiga sepatutnya daki Langtang Valley sejak 26 Ogos’ appeared first on Utusan Malaysia.






