
BUKIT MERTAJAM : Dewan Pemuda Pas Kawasan Permatang Pauh menganggap usul Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya pada pilihan raya akan datang bukan satu langkah yang baik dari sudut semangat kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang,
Ketuanya, Muhammad Aiman Shamsul Bahrin berkata, adalah lebih wajar sekiranya Gerakan memperkukuh gerak kerja mereka di kawasan yang mempunyai komposisi pengundi bukan Melayu yang lebih besar serta membina pengaruh dan akar umbi di kawasan tersebut.
“Kerusi DUN Seberang Jaya merupakan kerusi yang dimenangi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas tiket PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang 2023. Justeru, kerusi tersebut mempunyai kedudukan yang jelas dalam konteks pebahagian kerusi dan persefahaman politik PN,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook.
Beliau berkata demikian ketika mengulas usul oleh Persidangan Perwakilan Gerakan Bahagian Permatang Pauh yang mahu memperjuangkan kerusi tersebut untuk ditandingi oleh Gerakan pada pilihan raya nanti.
Mengulas lanjut, Muhammad Aiman berkata, usul untuk bertanding kerusi DUN Seberang Jaya juga boleh menimbulkan persepsi bahawa wujud usaha untuk mencetuskan persaingan dalaman serta memecahkan kesatuan PN dari dalam khususnya di Pulau Pinang.
Katanya, dalam keadaan rakyat mahukan sebuah gabungan pembangkang yang kuat, parti-parti komponen sepatutnya memperkukuhkan kerjasama dan bukannya membuka ruang kepada pertembungan sesama sendiri.
Jelas beliau lagi, walaupun DUN Seberang Jaya bukan kerusi yang ditandingi oleh Pas pada PRN yang lalu, Pemuda PAS Permatang Pauh tetap berpendirian bahawa kerusi itu merupakan kawasan dengan majoriti pengundi Melayu dan sewajarnya diberi pertimbangan serius dalam perbincangan agihan kerusi PN.
“Dalam politik, kita bukan sekadar melihat kepada kepentingan parti, tetapi juga mengambil kira demografi, kekuatan akar umbi, penerimaan masyarakat serta potensi kemenangan.
“Selain itu, kami juga ingin mengingatkan bahawa pengalaman PRN yang lalu di kerusi DUN Bayan Lepas yang diwakili sendiri oleh Presiden Parti Gerakan seharusnya menjadi pengajaran kepada semua parti dalam PN bahawa pertembungan sesama sendiri di kawasan yang mempunyai potensi untuk dimenangi hanya akan memberikan keuntungan kepada Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Justeru, beliau memberi peringatan tegas kepada Gerakan supaya tidak merosakkan semangat setiakawan yang telah dibina dalam PN di Pulau Pinang.
“Jangan kerana mengejar satu kerusi, hubungan antara parti komponen yang lebih besar dikorbankan. Perikatan Nasional memerlukan kesepakatan, disiplin dan strategi bersama untuk menghadapi PRU dan PRN akan datang.
“Jika benar kita mahu melihat perubahan politik di Pulau Pinang, maka formula yang perlu digunakan ialah memperkukuhkan kekuatan masing-masing, bukan saling melemahkan. Jangan ulangi kesilapan lalu. Jangan berikan kemenangan percuma kepada Pakatan Harapan,” katanya.
Untuk rekod, Seberang Jaya merupakan salah satu daripada tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh selain Permatang Pasir dan Penanti yang masing-masing dimenangi oleh Pas dan Bersatu pada PRN yang lalu.-UTUSAN
The post Pemuda Pas Permatang Pauh tak setuju Gerakan bertanding kerusi Seberang Jaya appeared first on Utusan Malaysia.






