‘Mak ayah bagi nama elok tapi mereka gelar saya Ruhanat’

Entertainment
21 Oct 2026 • 1:45 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Mak ayah bagi nama elok tapi mereka gelar saya Ruhanat’

KUALA LUMPUR – Pelakon Ruhainies meluahkan rasa terkilan apabila terdapat segelintir netizen tergamak mengubah namanya dengan panggilan jelik seperti ‘Ruhanat’ sejak tiga tahun lalu.

Pemilik nama penuh Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 34, itu berkata, lebih menyakitkan hatinya apabila nama tersebut terus digunakan dan menjadi ikutan lebih ramai netizen hari ini.

“Kalau baca komen yang paling menggores hati adalah apabila mereka mengubah nama saya kepada gelaran ‘Ruhanat’.

“Ibu bapa saya memberikan nama yang baik dan mempunyai maksud yang baik.

“Saya belum mengenal pasti siapa pemula gelaran tersebut tetapi netizen lain terus mengikutnya sehingga kini, sudah tiga tahun berlarutan,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.

Tegasnya, segelintir pihak sengaja mempergunakan namanya dalam media sosial demi meraih perhatian serta mengaut keuntungan peribadi.

“Sesetengah pihak menggunakan nama saya sebagai ‘clickbait’ atau rage bait untuk menaikkan engagement akaun mereka bagi menjual produk atau pautan ‘affiliate’.

“Tolonglah fikirkan kesan terhadap emosi mangsa fitnah dan hukum hakam,” katanya lagi.

Meskipun dihujani ujian berat, Ruhainies reda dan memilih untuk mengambil hikmah daripada setiap dugaan dalam hidupnya.

“Setiap dugaan ada hikmah. Sepanjang 34 tahun hidup, terlalu banyak nikmat yang Allah berikan dan reda dengan ujian ini selain menganggapnya sebagai proses pembelajaran hidup.

“Selepas ujian ini, banyak rezeki dan kehadiran orang-orang baik yang datang dalam hidup saya,” jelasnya.

Pada masa sama, dia juga enggan menoleh ke belakang lagi sebaliknya mahu memberi tumpuan penuh kepada masa hadapannya.

“Saya tidak mahu mengenangkan perkara lalu dan mahu fokus pada masa depan serta memperbaiki diri.

“Hikmah terbesar daripada ujian ini adalah saya dapat mendekatkan diri kepada Allah, menjadi lebih matang dan lebih menghargai orang sekeliling,” jelasnya lagi.

Menjawab tuduhan kononnya sengaja mencetuskan isu secara tiba-tiba , dia menegaskan mempunyai hak mempertahankan diri tanpa perlu menunggu masa yang sesuai dengan memikirkan pihak-pihak lain.

“Saya ada nampak juga dalam Threads, orang kata saya sengaja membangkitkan isu. Isu (fitnah) ini timbul, tak akan saya nak kena tunggu garis masa orang lain pula.

“Sebab orang itu ada sesuatu (acara), kemudian saya pula nak kena tunggu.

“Tak adil untuk saya. Kena tunggu minggu depan atau tahun depan baru nak ambil tindakan? Saya kena fikir untuk diri sendiri juga, siapa yang nak bantu saya?” tegasnya.

Perkara tersebut turut disokong peguam yang mewakilinya, Mohd. Haizal Ayop yang menjelaskan tindakan mereka memfailkan tuntutan ketika ini turut mendapat nasihat pihak berkuasa.

“Kes fitnah ini timbul pada 10 Oktober lalu, jadi kalau kami tidak mengambil tindakan sekarang, nanti selepas seminggu orang kata benda dah lama.

“Jika ditangguh lagi, polis dan orang ramai akan mempersoalkan keseriusan kita,” ujarnya.

Seorang lagi wakil peguam daripada Tetuan Azainie & Fakhrul, Fakhrul Azman Abu Hasan pula menjelaskan tindakan itu perlu bagi menolak tanggapan kononnya anak guam mereka bersetuju dengan fitnah disebarkan.

“Dalam kes fitnah ini jika dibiarkan, seolah-olah kita bersetuju dengan fitnah tersebut.

“Disebabkan itu tindakan diambil dalam tempoh munasabah. Kami perlu mengambil tindakan atas fitnah yang disebarkan itu. Isu pun masih hangat lagi,” kongsinya.

Menerusi tuntutan yang difailkan, ketiga-tiga individu yang dikenal pasti mencetuskan fitnah terhadap Ruhainies iaitu menuduhnya menjalin hubungan dengan individu kenamaan diminta memohon maaf secara terbuka, memberi aku janji dengan memadam kenyataan fitnah, menghentikan tohmahan dan menanggung kos guaman.

Sekiranya gagal dipenuhi dalam tempoh tujuh hari, Ruhainies akan meneruskan tindakan saman ganti rugi bernilai RM3 juta. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Mak ayah bagi nama elok tapi mereka gelar saya Ruhanat’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved