Nampak feri bergoyang selepas bertembung kapal – Penumpang

2 Sep 2026 • 9:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Nampak feri bergoyang selepas bertembung kapal – Penumpang

GEORGE TOWN: Penumpang Feri Teluk Bahang mendakwa terdengar bunyi dentuman kuat sebelum feri berkenaan bergoyang kiri dan kanan dalam insiden pelanggaran dengan kapal MV Mekar Jaya di perairan Pelabuhan Pulau Pinang malam tadi.

Seorang penumpang yang hanya mahu dikenali sebagai Zaidi berkata, kejadian berlaku ketika feri terbabit hampir tiba di Pengkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth.

Menurutnya, ketika itu, feri berkenaan membawa kira-kira 45 hingga 50 motosikal dan dia berada di bahagian belakang ruang motosikal.

“Ketika kejadian, kami mungkin hanya kira-kira lima minit lagi untuk sampai ke terminal. Tiba-tiba saya nampak sebuah kapal kargo berwarna gelap melintas di hadapan feri sebelum terdengar bunyi dentuman besi yang sangat kuat dari bahagian hadapan,” katanya.

Katanya, dentuman berkenaan menyebabkan penumpang mula menjerit dan keadaan dalam feri menjadi kelam-kabut.

“Feri bergoyang ke kiri dan kanan sebelum berpusing. Banyak motosikal yang berada di dalam feri turut terbalik menyebabkan beberapa penumpang dan penunggang motosikal terjatuh.

“Saya cuba membantu penumpang yang terjatuh, manakala ada yang mengalami kecederaan di kepala, tangan dan kaki,” katanya.

Tambahnya, mangsa yang cedera kemudiannya dibawa mendapatkan rawatan menggunakan ambulans sebaik feri tiba di terminal.

Terdahulu, dilaporkan seramai 21 penumpang dilaporkan cedera dalam insiden pelanggaran antara Feri Teluk Bahang dan MV Mekar Jaya di perairan Pelabuhan Pulau Pinang, malam tadi.

Berdasarkan maklumat awal, MV Mekar Jaya ketika itu dalam perjalanan dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) menuju ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) manakala Feri Teluk Bahang dalam perjalanan ke PSAH.

Insiden berlaku kira-kira pukul 8.40 malam dan menyebabkan beberapa motosikal yang dibawa di atas feri terbabit terbalik akibat impak pelanggaran.

Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala penumpang lain dilaporkan bersurai selepas keadaan di terminal kembali tenang dan terkawal. – UTUSAN

The post Nampak feri bergoyang selepas bertembung kapal – Penumpang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved