Nas-T Bangga Anak-Anak Anggap dirinya ‘Superhero’, Amal Diet Ketat Demi Kostum Keluang Man - “Sebagai Seorang Ayah, Saya…”

30 Mar 2025 • 11:55 AM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Pelakon Nas-T mengakui dia berasa bangga apabila anak-anaknya mengenalinya sebagai seorang adiwira memandangkan dirinya memegang watak sebagai Keluang man.

Bangga sebagai bapa

Nas atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin, berkata ia merupakan satu kebanggaan buat dirinya sebagai seorang bapa.

 

"Saya banggalah mereka kenal saya sebagai superhero, sebagai seorang ayah saya rasa ia pengalaman berbeza dengan ayah lain dan saya boleh berbangga dengannya," katanya kepada Gempak.

 

Berkongsi lanjut mengenai perkara itu, Nas memberitahu pada awalnya anak bongsunya, Nur Halili gerun melihat dia menyarungkan kostum adiwira itu.

Kostum Keluang Man

Namun selepas diperkenalkan anak-anak kini turut berbangga melihat dirinya terpampang di papan iklan.

"Anak saya yang kecil awalnya dia takut bila saya pakai kostum Keluang Man, tapi lama-lama dia kenal siapa dalam kostum itu.

 

"Tapi bila saya kenalkan siapa Keluang Man itu semua, mereka kini teruja kalau lihat iklan itu. Mereka akan anggap itu saya," luahnya.

 

Dalam pada itu, pelakon berusia 41 tahun itu memberitahu dia juga mengamalkan diet ketat agar dapat menyarung kostum Keluang Man.

Diet ketat

Malah dia tidak mengambil nasi di dalam dietnya agar dapat memberi kesan lebih baik pada penampilannya.

 

"Untuk diet Keluang Man ini saya tak masukkan nasi dalam rutin diet saya. Sebelum ini saya makanan saja nasi.

 

"Cuma untuk Keluang Man ini memerlukan saya terlihat 'sharp' ketika pakai topeng dan kostum jadi lebih ketat. Saya akan diet sehingga semua ini selesai," tambahnya.

 

Keluang Man merupakan siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan berjaya mencipta fenomena tersendiri serta menjadi kebanggaan Malaysia.

 

Filem terbitan Astro Shaw itu jangka bakal ditayangkan pada Mei depan.