ISU buli bukan lagi sekadar masalah disiplin di sekolah atau institusi pendidikan, sebaliknya menjadi ancaman sosial yang meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa untuk tempoh yang sangat panjang.
Dalam banyak kes pembuli mungkin menerima hukuman seperti penggantungan sekolah, tindakan undang-undang atau kecaman masyarakat, namun selepas tempoh tertentu mereka masih mampu meneruskan kehidupan secara normal.
Sebaliknya mangsa pula terpaksa menanggung luka fizikal dan emosi berpanjangan, malah ada yang terus 'dihukum' sepanjang hayat akibat perbuatan tersebut.
Kesan buli terhadap mangsa bukan sahaja melibatkan kecederaan fizikal, tetapi turut memberi impak besar kepada kesihatan mental dan kestabilan emosi.
Ada mangsa yang mengalami trauma serius sehingga takut bergaul, hilang keyakinan diri dan sukar mempercayai orang lain.
Lebih membimbangkan terdapat mangsa mengalami gangguan kebimbangan, kemurungan dan tekanan emosi kronik sehingga terpaksa bergantung kepada ubat untuk meneruskan kehidupan harian.
Dalam kes tertentu, mangsa bukan sahaja kehilangan ketenangan hidup, malah turut berdepan kecacatan kekal akibat dipukul atau dicederakan.
Situasi ini menjadikan mereka terpaksa menanggung kos rawatan, kehilangan peluang pendidikan atau pekerjaan serta mengalami kesukaran membina kehidupan normal.
Hakikatnya kesan buli tidak berhenti selepas sesuatu insiden tamat kerana trauma dialami boleh terus menghantui mangsa sehingga dewasa.
Permasalahan ini menunjukkan bahawa masyarakat masih gagal memahami kesan jangka panjang buli terhadap kehidupan seseorang.
Ramai melihat buli sebagai 'kesilapan remaja' atau isu sementara, sedangkan kesannya mampu merosakkan masa depan mangsa secara keseluruhan.
Dalam masa sama, sokongan psikologi kepada mangsa juga masih belum mencukupi terutama dari segi akses rawatan mental dan bantuan pemulihan jangka panjang.
Justeru, pendekatan lebih tegas dan menyeluruh perlu dilaksanakan. Hukuman terhadap pembuli bukan sahaja perlu bersifat menghukum, tetapi turut memberi kesedaran mengenai impak tindakan mereka terhadap kehidupan mangsa.



