
SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan Khamis ini bagi keputusan kes diakhir pendakwaan seorang pelajar lelaki yang didakwa membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tahun lalu.
Keputusan sama ada tertuduh juvana yang kini berusia 15 tahun itu dibebaskan atau diperintah bela diri, akan diputuskan Hakim Adlin Abdul Majid yang telah mendengar perbicaraan kes itu selama enam hari bermula minggu lalu.
Perkara itu dimaklumkan peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh berusia 15 tahun tersebut selepas prosiding hari terakhir hari ini.
Menurut peguam itu, Hakim Adlin menetapkan keputusan Khamis ini, selepas pihak pendakwaan memaklumkan menutup kes dengan saksi terakhir iaitu pegawai penyiasat kanan Asisten Superintendan Ahmad Zarrin Abd Rashid selesai memberi keterangan.
“Sepanjang perbicaraan selama enam hari seramai 11 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dengan saksi terakhir hari ini ialah pegawai penyiasat,” kata peguam itu yang turut dibantu peguam-peguam Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei.
Untuk rekod, sepanjang perbicaraan berlangsung antara saksi-saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan ialah tiga kanak-kanak, guru sekolah, ibu mangsa dan pakar patologi.
Sepanjang prosiding pendakwaan diwakili
Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, Ahmad Iqbal Azman.
Remaja lelaki itu identitinya tidak boleh didedahkan atau dirakam gambarnya kerana masih di bawah umur manakala sepanjang prosiding ia dijalankan secara tertutup (in camera).
Sebelum ini, mahkamah diberitahu keputusan laporan psikiatri menunjukkan tertuduh layak untuk dibicarakan selain mendapati tertuduh berupaya memahami perkara yang berlaku dalam prosiding mahkamah.
Mengikut pertuduhan, remaja lelaki berusia 14 tahun itu (umur ketika kejadian) didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama di sini antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap seseorang yang merupakan kanak-kanak pada masa kesalahan itu dilakukan.
Sebaliknya, Seksyen 97(2) memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan atas kesalahan sedemikian hendaklah ditahan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika kesalahan itu dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, atau selama diperkenankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri jika kesalahan itu dilakukan di sesebuah negeri.
Pada perbicaraan minggu lalu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu mangsa dalam kejadian itu mengalami sekurang-kurangnya 180 kesan tikaman dan luka hirisan pada bahagian badan.
Pakar patologi forensik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Koo Zhao Peng, yang juga saksi pendakwaan pertama dalam perbicaraan kes itu ketika memberi keterangan memaklumkan mangsa turut mengalami kecederaan pada arteri karotid dan vena jugular, iaitu saluran darah utama. – KOSMO! ONLINE
The post Nasib remaja bunuh pelajar perempuan diketahui Khamis ini appeared first on Kosmo Digital.




