
KUALA LUMPUR: Isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) tidak seharusnya dijadikan bahan drama politik kerana ia menyentuh kepentingan umat Islam yang mengumpul wang sedikit demi sedikit bagi menunaikan Rukun Islam kelima.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan sama ada pihak tertentu lebih berminat membahaskan mengenai dirinya berbanding persoalan membabitkan dakwaan pengkhianatan terhadap TH.
Beliau kecewa dengan sikap ahli politik pembangkang yang masih dengan drama politik ketika pendeposit TH dikhianati melalui tindakan penyelewengan pemimpin tidak bertanggungjawab.
“Nak bahas tentang saya, atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya, atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?
“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini.
Terdahulu, pembangkang bertindak keluar dewan kerana mempertikaikan status Sidang Khas Dewan Rakyat RCI TH yang didakwa hanya bertaraf penerangan menteri tanpa sebarang keputusan Parlimen.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihak kerajaan memaklumkan bahawa laporan RCI Tabung Haji itu hanya dibentangkan dalam bentuk penerangan menteri.
Anwar dalam masa sama menempelak sikap pemimpin PN yang langsung tidak memikirkan nasib orang susah yang berusaha menyimpan wang dalam institusi kewangan Islam itu selama bertahun-tahun.
“Apakah PN yang ditunjangi Pas tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?” katanya.-UTUSAN
The post Nasib Tabung Haji jangan dipolitikkan appeared first on Utusan Malaysia.






