
PETALING JAYA: Usianya baru menginjak 16 tahun, namun impian yang disimpan atlet jalan kaki Melaka, Tan Li Ren jauh lebih besar daripada usianya apabila dia memasang sasaran untuk menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama buat Malaysia.
Li Ren mula mencuri perhatian pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila tampil cemerlang dalam penampilan sulungnya dengan meraih pingat emas acara 20,000 meter (m) jalan kaki selain gangsa dalam acara 10,000m.
Lebih mengagumkan, kejayaan dalam acara 20,000m itu hadir bersama catatan rekod baharu, sekali gus meletakkan namanya sebagai antara prospek muda yang wajar diberi perhatian dalam sukan olahraga negara.
Bagi pelajar Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) itu, pencapaian di SUKMA 2026 bukan sekadar koleksi pingat, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh dalam kariernya.
“Sasaran saya, saya harap dapat mewakili Malaysia dan pergi ke peringkat yang lebih tinggi. Saya mahu bermain untuk Malaysia dan menang pingat untuk negara,” katanya.
Menariknya, Li Ren mengakui dia tidak pernah mengenali acara jalan kaki sebelum diperkenalkan oleh jurulatihnya dan daripada situ, dia akhirnya menjadikan acara 10,000m dan 20,000m sebagai fokus utama sejak berusia 13 tahun.
“Saya main sukan ini sebab jurulatih saya yang memperkenalkan sukan ini. Saya bermula daripada kosong. Memang saya tidak kenal dan tidak pernah dengar mengenai sukan ini, tetapi sebab jurulatih, saya mula bermain sukan ini,” katanya.
Sebelum memilih jalan kaki, Li Ren sebenarnya sudah mencuba pelbagai disiplin sukan ketika di sekolah rendah termasuk larian jarak jauh, bola keranjang, lompat jauh dan merentas desa.
Namun, jalan kaki akhirnya menjadi pilihan apabila memasuki sekolah menengah dan dia mula memberi tumpuan secara serius terhadap disiplin berkenaan.
Li Ren mengakui pada peringkat awal dia berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan rutin tersebut, namun selepas beberapa ketika, dia mula terbiasa dengan kehidupan sebagai atlet dan pelajar.
Lebih mencabar, acara jalan kaki memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi kerana atlet perlu mengulangi pusingan yang sama dalam tempoh yang panjang.
Bagi Li Ren, kunci untuk terus bertahan bukan semata-mata kekuatan fizikal, sebaliknya dorongan daripada keluarga, jurulatih serta keinginan untuk membuktikan bahawa segala penat lelahnya selama ini tidak sia-sia.
“Pertama sekali, saya mahu banggakan ibu bapa saya dan jurulatih kerana mereka banyak memberi sokongan.
“Saya tidak mahu usaha, latihan dan penat lelah saya menjadi sia-sia kalau datang bertanding hanya untuk menghabiskan perlumbaan tanpa tujuan,” katanya.
Walaupun baru menempa nama di pentas SUKMA, Li Ren tidak mahu berhenti setakat itu, sebaliknya, dia sudah berani meletakkan impian yang cukup tinggi, iaitu mewakili Malaysia di pentas Olimpik dan memburu pingat emas.
“Impian terbesar saya, saya harap dapat mendapatkan pingat emas Olimpik pertama untuk Malaysia.
“Saya mahu mewakili Malaysia di Olimpik dan memenangi pingat emas,” katanya. – UTUSAN
The post Li Ren permata baharu jalan kaki appeared first on Utusan Malaysia.






