SUKMA 2026: Dari gimnastik ke terjun, langkah Ayu Syuhaida tuai hasil

23 Aug 2026 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUKMA 2026: Dari gimnastik ke terjun, langkah Ayu Syuhaida tuai hasil

SHAH ALAM, 23 OGOS: Baru lapan bulan menyertai skuad terjun, Ayu Syuhaida Khairul, 14, sudah membuktikan kemampuannya apabila meraih satu emas dan dua gangsa pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Bekas atlet gimnastik artistik Selangor itu memilih beralih ke sukan terjun selepas melihat peluang lebih cerah untuk merealisasikan impiannya beraksi di pentas Sukan Olimpik.

Lebih mengagumkan, pingat emas diraih menerusi acara 3 meter papan anjal wanita, manakala dua gangsa diperoleh dalam acara 10 meter platform wanita seirama dan platform seirama campuran.

Bagi Ayu, keputusan meninggalkan gimnastik bukan dibuat tanpa sebab, sebaliknya menjadi langkah penting dalam mengejar impian lebih besar.

“Saya rasa peluang dalam terjun lebih cerah berbanding gimnastik, terutama untuk pergi ke Olimpik dan memenangi pingat,” katanya ketika ditemui Media Selangor di Akuatik Selangor di sini, hari ini.

Image from: SUKMA 2026: Dari gimnastik ke terjun, langkah Ayu Syuhaida tuai hasil
Ayu Syuhaida Khairul bersedia melakukan terjunan dalam saingan SUKMA Selangor 2026 di Akuatik Selangor. Foto NAJAMUDDIN MOHD NOR

Walaupun masih muda, Ayu sudah menetapkan hala tuju untuk terus mengembangkan potensinya dalam sukan terjun dan membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.

"Saya memang memasang impian nak wakil Malaysia. Dari kecil lagi saya dah ada cita-cita nak wakili Malaysia ke Sukan Olimpik.

"Alhamdulillah saya dapat emas dalam sukan terjun pada SUKMA kali ini. Saya dedikasi emas ini untuk jurulatih saya yang banyak membantu dan percaya kepada kemampuan saya," katanya.

Pencapaian tiga pingat pada penampilan kali ini menjadi permulaan positif buat Ayu dalam perjalanan baharunya itu.

Dengan latihan yang baru memasuki tempoh lapan bulan, kejayaan itu turut memperlihatkan potensi besar Ayu untuk terus berkembang dalam usahanya merealisasikan impian beraksi di Sukan Olimpik.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved