NCT beli 55.72% saham syarikat Sabah, Grorich Corp bernilai RM36 juta

LocalBusiness & Finance
11 Jun 2025 • 11:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

NCT beli 55.72% saham syarikat Sabah, Grorich Corp bernilai RM36 juta

image is not available

11/06/2025 - 11:15

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Jun - Syarikat hartanah NCT Alliance Bhd, mencadangkan pembelian 55.72% pegangan dalam Grorich Corp Sdn Bhd yang juga pemilik tanah di Putatan, Sabah, dengan nilai RM36 juta yang akan diselesaikan melalui pemindahan saham.

NCT memaklumkan, anak syarikatnya, NCT Panorama Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian dengan Datuk Yap Yiw Sin dan isterinya, Datin Ang Guan, untuk membeli 55.72% saham dalam Grorich Corp.

Grorich Corp ialah syarikat pembinaan dan kejuruteraan yang memiliki tanah di Putatan, Sabah.

"Pembelian ini mengukuhkan usaha kumpulan untuk menambah simpanan tanah di lokasi yang strategik dan mengembangkan projek hartanah di Malaysia," kata NCT dalam makluman di Bursa Malaysia.

Jelasnya, nilai pembelian sebanyak RM36 juta akan dibayar melalui pemindahan kira-kira 75 juta saham NCT.

Ini termasuk 7.5 juta saham perbendaharaan bernilai 48 sen sesaham bersamaan RM3.6 juta dan 67.5 juta saham baharu pada harga RM32.4 juta.

"Saham-saham ini melibatkan pembelian 43.6% pegangan daripada Yiw Sin dan 12.12% daripada Ang Guan.

"Saham baharu yang diterbitkan ini mewakili 4.03% daripada jumlah saham syarikat yang ada, tidak termasuk saham perbendaharaan setakat 30 Mei lalu," tambahnya.

Cadangan pembelian tersebut diumumkan hanya tiga bulan selepas NCT membeli 51% saham dalam syarikat yang berpusat di Sabah, Setara Juara Sdn Bhd, dengan nilai RM22 juta.

Pembelian berkenaan berkaitan dengan projek Ion Marina Bay di Putatan, yang melibatkan kawasan seluas 101.05 hektar dan dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.4 bilion dalam tempoh sembilan tahun.

Projek pertama NCT di Sabah adalah Ion Borneo Garden di Penampang, yang dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini, dengan GDV sekitar RM175.5 juta.

NCT berkata, pembelian terbaharu itu akan membantu syarikat menjimatkan wang tunai dan mengurangkan hutang kerana ia dibiayai sepenuhnya melalui penerbitan saham.

"Pembelian ini dijangka dapat mengukuhkan kedudukan NCT sebagai pemaju perumahan berkualiti di Malaysia serta membuka lebih banyak peluang dalam pasaran hartanah Sabah yang sedang berkembang," ujarnya. - DagangNews.com

standard