Negeri Sembilan semakin kukuh sebagai pelengkap pertumbuhan industri Lembah Klang – RHB Research

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 10:05 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Negeri Sembilan semakin kukuh sebagai pelengkap pertumbuhan industri Lembah Klang – RHB Research Image from: Negeri Sembilan semakin kukuh sebagai pelengkap pertumbuhan industri Lembah Klang – RHB Research hamden07/10/2026 - 10:05 Ikut arah jam, Kemajuan pembinaan pusat data di NSSV, Pembangunan IKON Residences, Persekitaran Suria Heights dan pemandangan udara pembangunan Eco Business Park 7. - Gambar/ RHB Research Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt - Negeri Sembilan (N9) dijangka terus mencatat pertumbuhan sektor perindustrian yang kukuh, disokong ketersediaan tanah industri seluas 4,807 ekar serta permintaan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur digital, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek tersebut mengukuhkan lagi kedudukan Negeri Sembilan sebagai pelengkap kepada pertumbuhan industri Lembah Klang, dengan beberapa pembangunan utama termasuk pusat data dan taman perindustrian menunjukkan momentum yang positif.

 

Pandangan itu dibuat selepas RHB Investment Bank menganjurkan Persidangan Pelabur Negeri Sembilan 2026 pada 1 Oktober, yang turut melibatkan beberapa lawatan korporat serta pertemuan dengan agensi seperti NS Corporation, Invest NS dan entiti berkaitan.

 

"Persidangan itu mengesahkan semula bahawa Negeri Sembilan merupakan pelengkap kukuh kepada pertumbuhan sektor perindustrian Lembah Klang," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Potensi pertumbuhan infrastruktur digital

Menurut RHB Research, lawatan ke Negeri Sembilan Semiconductor Valley (NSSV) memberi gambaran jelas mengenai potensi pertumbuhan infrastruktur digital di negeri itu.

 

NSSV yang merupakan sebahagian daripada Parcel F Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 merangkumi 841 ekar, dengan kira-kira 157 ekar telah diambil oleh pengendali pusat data Vena Nexus bagi membangunkan pusat data berkapasiti 450MW.

 

Fasa semasa pusat data berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2027.

 

Selain Vena Nexus, kira-kira 175 ekar lagi telah diambil oleh syarikat multinasional lain, sekali gus mencerminkan permintaan yang berterusan terhadap pembangunan industri dan infrastruktur digital di Negeri Sembilan.

 

Hartanah dan pembinaan

RHB Research turut melihat peluang pertumbuhan dalam sektor hartanah dan pembinaan susulan pembangunan yang sedang berjalan di Seremban.

 

Menurutnya, projek IKON Residences oleh IJM Land di Seremban 2, yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM388 juta, mencatat kadar pengambilan sekitar 30%.

 

Seremban 2 masih mempunyai kira-kira 90 ekar tanah untuk dibangunkan, dengan sebahagian besarnya akan diperuntukkan bagi taman bandar seluas 50 ekar.

 

Sementara itu, Seremban 2 Heights yang merangkumi 1,589 ekar mempunyai kira-kira 383.5 ekar tanah untuk dibangunkan dalam tiga fasa akan datang.

 

" Kami menjangkakan peluang masa depan berpotensi memberi manfaat kepada kontraktor seperti Kerjaya Prospek, yang kini terlibat dalam dua projek di Seremban, masing-masing bagi IKON Residences dan sebuah hospital swasta," katanya.

 

Eco Business Park 7

RHB Research turut meninjau Eco Business Park 7 (EBP 7) dalam Parcel C MVV 2.0, yang merangkumi 1,195 ekar dengan anggaran GDV kira-kira RM3 bilion.

 

Transaksi tanah terbaharu oleh Tera Data Centres bagi kawasan seluas 222 ekar, menurut firma itu, menjadi petunjuk kepada permintaan terhadap infrastruktur digital di Negeri Sembilan.

 

Kemajuan pembinaan jalan yang menghubungkan Jalan B48 dengan Persiaran Teknologi 5 atau B48 Link turut menunjukkan perkembangan infrastruktur sokongan di kawasan berkenaan.

 

Baki kawasan tanah bersih di EBP 7 kini sekitar 300 ekar.

 

Dalam sektor hartanah pula, RHB Research berkata pembangunan Suria Heights milik Matrix Concepts Holdings Bhd  di Bandar Sendayan terus menunjukkan perkembangan positif.

 

Projek berkenaan mempunyai GDV RM547 juta dan empat fasa telah dilancarkan, dengan fasa pertama siap pada Disember 2024.

 

Secara keseluruhan, termasuk MetroPark 2B di Bandar Sendayan, kadar pengambilan projek Matrix Concepts di Bandar Sendayan mencapai 72.3% setakat 30 Jun.

 

Menurut RHB Research, satu lagi pemacu pertumbuhan berpotensi bagi kawasan itu ialah pembinaan kemudahan penjagaan kejururawatan berkemahiran bersepadu berkapasiti 130 katil, yang dibangunkan menerusi kerjasama dengan Alpro Group dan Mercy Senior Care Centre.

 

Walaupun positif dengan prospek negeri, RHB Research mengingatkan bahawa persaingan daripada negeri lain seperti Pulau Pinang dan Johor kekal sebagai risiko penurunan, memandangkan kedua-dua negeri turut giat mempromosikan diri sebagai destinasi pelaburan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved