liza05/10/2026 - 12:45 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt – Inta Bina Group Berhad semakin mengukuhkan kedudukannya daripada kontraktor pembinaan kepada kumpulan yang menggabungkan aktiviti pembinaan dan pembangunan hartanah menerusi projek keduanya, Senja Residensi @ Bukit Jelutong, menurut Malacca Securities
Firma penyelidikan itu berkata Senja Residensi merupakan projek pembangunan hartanah kedua menerusi anak syarikat milik penuh Inta iaitu Seiring Setia Sdn Bhd (SSSB), dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM290.96 juta.
Projek yang dimulakan pada 1 Oktober 2026 itu merangkumi 499 unit pangsapuri servis dalam dua blok kediaman, selain ruang komersial, tempat letak kereta dan kemudahan untuk penghuni, serta dijangka siap dalam tempoh 36 bulan.
Kontrak pembinaan projek itu akan diberikan kepada anak syarikat milik penuh Inta iaitu Inta Bina Sdn Bhd (IBSB) yang membolehkan kumpulan memperoleh pendapatan daripada kedua-dua aktiviti pembangunan hartanah dan pembinaan. Bagaimanapun, nilai kontrak pembinaan belum didedahkan.
Pembangunan hartanah semakin penting
Malacca Securities berkata, pembangunan pertama kumpulan, Senuri Residence menyumbang RM45.1 juta atau 6.5% daripada hasil kumpulan pada FY2024 sebelum meningkat kepada RM91.9 juta atau 12.2% pada FY2025.
“Pada masa sama, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) daripada segmen pembangunan hartanah meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM13.3 juta.
“Pengurusan INTA menyasarkan segmen pembangunan hartanah menyumbang kira-kira 30% daripada hasil kumpulan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Selain Senja Residensi, kumpulan turut menyasarkan dua lagi pembangunan untuk dilancarkan pada suku keempat 2026 dengan gabungan GDV melebihi RM600 juta,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Inta Bina bangunkan Senja Residensi bernilai RM291 juta di Bukit Jelutong
Dari segi asas perniagaan, Inta Bina mempunyai buku tender bernilai RM4.4 bilion, manakala tempahan belum dibil (unbilled order book) berjumlah kira-kira RM1.6 bilion setakat suku kedua FY2026.
Kedudukan kewangan kumpulan turut disokong nisbah hutang bersih kepada ekuiti (net gearing) yang rendah pada 0.09 kali serta kira-kira RM650 juta kemudahan perbankan yang masih tersedia.
Bagi tahun kewangan 2026, kumpulan telah memperoleh kontrak baharu bernilai RM645 juta setakat ini, berbanding andaian pengisian semula tempahan antara RM800 juta hingga RM900 juta, manakala pengurusan menyasarkan RM860 juta bagi keseluruhan FY2026.
Malacca Securities berkata, pendedahan kepada pusat data turut menjadi pemangkin berpotensi kepada pertumbuhan Inta Bina dengan kumpulan sedang giat mengejar peluang dalam segmen tersebut. Kejayaan memperoleh kontrak pusat data boleh meluaskan profil pertumbuhan kumpulan dan mencetuskan penilaian semula saham.
Sementara menunggu pemangkin itu, firma penyelidikan berkata hasil dividen dan kedudukan kewangan Inta Bina yang kukuh memberikan sokongan kepada saham berkenaan.
Malacca Securities mengekalkan saranan Beli terhadap Inta Bina dengan harga sasaran RM0.78 berdasarkan 11 kali anggaran pendapatan sesaham (EPS) FY2027 sebanyak 7.11 sen.
Firma itu mengunjurkan hasil Kumpulam meningkat daripada RM750.6 juta pada FY2025 kepada RM845.7 juta pada FY2026, RM899 juta pada FY2027 dan RM955.9 juta pada FY2028, manakala keuntungan teras dijangka meningkat kepada RM41.4 juta, RM44 juta dan RM46.7 juta bagi tempoh sama. - DagangNews.com






