RHB Research unjur pertumbuhan tahunan Orkim catat 5% didorong sumbangan 2 kapal baharu

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 9:45 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RHB Research unjur pertumbuhan tahunan Orkim catat 5% didorong sumbangan 2 kapal baharu Image from: RHB Research unjur pertumbuhan tahunan Orkim catat 5% didorong sumbangan 2 kapal baharu amree05/10/2026 - 09:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Okt — Orkim Berhad berpotensi mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) keuntungan bersih teras sebanyak 5% bagi tempoh tahun kewangan 2025 hingga 2028, didorong sumbangan setahun penuh daripada dua kapal baharu iaitu Orkim Jade dan Orkim Ruby.

 

RHB Research turut mengunjurkan keuntungan teras kumpulan masing-masing bakal mencapai RM95 juta pada FY27 dan RM99 juta pada FY28, disokong oleh purata kadar sewaan harian (DCR) yang lebih tinggi, penambahan hari operasi, serta program pembaharuan armada secara selektif.

 

Susulan prospek teguh ini, firma tersebut memulakan liputan ke atas syarikat pengangkutan maritim itu dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM1.14 sesaham berasaskan perolehan buku tempahan penyewaan masa (TC) berjumlah RM593 juta dan 19 kontrak yang sedia ada.

 

"Bagaimanapun, kami turut memberi peringatan bahawa prestasi Orkim kekal terdedah kepada beberapa isu kritikal dan risiko cabaran semasa, merangkumi ancaman lanun, rompakan bersenjata, konflik geopolitik, kejatuhan DCR, penurunan permintaan produk penapisan, penyelenggaraan luar jangka, serta peningkatan kos pembaikan kapal," katanya.

 

Meskipun perlu berdepan landskap risiko keselamatan maritim dan ekonomi global, kumpulan itu ujar RHB Research, mempunyai rekod prestasi cemerlang sejak 2007 selaku pemilik-pengendali terkemuka bagi kapal tangki petroleum bersih (CPP) dan gas petroleum cecair (LPG) di Malaysia.

 

Kumpulan itu kini mengendalikan 19 kapal yang merangkumi 15 kapal CPP, dua kapal CPP bersaiz medium-range (MR), dan dua kapal LPG dengan kapasiti muatan keseluruhan 253,000 deadweight tonnage (DWT), yang memberi perkhidmatan kepada syarikat tenaga utama seperti PETRONAS.

 

Orkim_DagangNews2026

 

Orkim beroperasi menerusi pelbagai struktur sewaan merangkumi TC, pelayaran berturut-turut (CVC), kontrak pengangkutan (COA), serta sewaan 'spot' yang merentasi 25 lokasi domestik dan 65 lokasi antarabangsa, sekali gus menjamin keterlihatan perolehan jangka panjang.

 

"Dari sudut kecekapan operasi, armadanya mempunyai purata umur relatif muda iaitu sekitar 12 tahun serta dilengkapi keupayaan membolehkan kapal-kapalnya berlabuh di pelabuhan bersaiz kecil untuk fleksibiliti operasi, kecekapan enjin, dan pelepasan karbon yang lebih rendah," kata RHB Research.

 

Kadar penggunaan armada syarikat kekal kukuh pada paras 90% sepanjang empat tahun lalu, dan paras ini dijangka terus bertahan walaupun lima buah kapal dijadualkan menjalani penyelenggaraan atau dok kering pada FY26/FY27 berikutan pelaksanaan tempoh penyelenggaraan secara bertingkat.

 

Di samping itu, model perniagaan pemilik-pengendali membolehkan Orkim mengekalkan kadar pendapatan sewaan yang lebih tinggi dan kawalan operasi secara ketat, disokong oleh margin perolehan kasar melebihi 50% serta pulangan atas ekuiti (ROE) melepasi 13%.

 

Penilaian sasaran RHB Research adalah sejajar dengan purata nisbah harga kepada pendapatan (P/E) wajaran rakan terbilang industri, diselaraskan dengan skor ESG syarikat sebanyak 3.0 iaitu pada paras purata median negara, tanpa sebarang akaun diskaun atau premium. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved