Sevenco lancar projek pangsapuri Maison Sungai Besi dengan GDV RM360 juta

6 Oct 2026 • 5:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sevenco lancar projek pangsapuri Maison Sungai Besi dengan GDV RM360 juta Image from: Sevenco lancar projek pangsapuri Maison Sungai Besi dengan GDV RM360 juta liza06/10/2026 - 17:18 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Okt – Sevenco Sdn Bhd memulakan pembangunan projek pangsapuri servis pertamanya di Lembah Klang, Maison Sungai Besi di Taman Castlefield dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM360.3 juta.

 

Projek yang dibangunkan menerusi anak syarikatnya, Sevenco Synergy Sdn Bhd itu terletak di atas tanah seluas 2.29 ekar (0.93 hektar) yang melibatkan pembinaan sebuah pangsapuri setinggi 48 tingkat.

 

Maison Sungai Besi akan menawarkan 537 unit dengan keluasan binaan antara 721 hingga 1,206 kaki persegi, terdiri daripada susun atur dua dan tiga bilik tidur.

 

Harga jualan unit ditetapkan antara RM519,777 hingga RM824,777.

 

Kerja cerucuk sudah capai 25%

Ketua Pegawai Operasi Sevenco, Ng Han Seong berkata, kerja cerucuk projek itu telah dimulakan pada Julai 2026 dan kemajuan pembinaan kini mencapai kira-kira 25%.

 

Beliau berkata, projek berkenaan berada di landasan untuk disiapkan pada 2031.

 

Maison Sungai Besi turut menawarkan pelbagai kemudahan kepada penghuni, antaranya kolam renang, kolam kanak-kanak, gimnasium, dewan serbaguna, bilik kanak-kanak, bilik permainan dan simulator golf.

 

Kemudahan lain termasuk bilik e-sukan, panggung wayang, bilik muzik, taman permainan kanak-kanak, ruang yoga dan tarian, zon latihan mobiliti, bilik urutan serta ruang lounge.

 

Dilengkapi ciri rumah pintar

Dari aspek teknologi, Maison Sungai Besi akan dilengkapi infrastruktur pendawaian neutral yang membolehkan penggunaan teknologi rumah pintar.

 

Ia turut menyediakan kunci pintar digital dengan teknologi pengecaman wajah selain sistem robot pintar untuk penghantaran bungkusan dan makanan dari aras bawah.

 

Menurut Ng, penduduk juga akan disediakan perkhidmatan bas ulang-alik secara berkala bagi menghubungkan kediaman itu dengan beberapa lokasi utama.

 

Antara destinasi yang akan dihubungkan menerusi perkhidmatan tersebut ialah stesen MRT Sungai Besi, Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Stadium Bukit Jalil dan Pavilion Bukit Jalil.

 

Maison Sungai Besi boleh diakses menerusi beberapa laluan utama termasuk Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban, Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Sungai Besi serta Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE). - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved