
KOTA TINGGI: Seorang wanita berpangkat nenek didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi yang juga cucu tirinya, hujung bulan lalu.
Tertuduh, Nurul Farhana Laili Shah, 39, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Hafizah Abdul Rajak.
Bagaimanapun tiada pertuduhan direkodkan kerana pendakwaan terhadap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu telah membunuh Nur Anggun Dahlia Abdullah berusia 16 bulan di sebuah rumah di Taman Sri Saujana, di sini antara pukul antara 12.30 tengahari sehingga 9.30 pagi, antara 30 hingga 31 Julai lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa memohon pihak mahkamah menetapkan satu tarikh bagi menunggu laporan kimia, post mortem dan DNA serta tiada jaminan ditawarkan.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 11 Disember bagi sebutan semula kes, manakala tertuduh diwakili peguam Lidyana Mansor dan Farah Yasmin.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata, pihaknya telah menahan dua lagi individu bagi membantu siasatan kejadian pembunuhan berkenaan iaitu datuk dan ibu mangsa sebelum mereka dibebaskan untuk menjadi saksi pendakwaan.
Hasil bedah siasat terhadap mangsa mendapati punca kematian adalah disebabkan hentakan objek tumpul pada abdomen dan dada. Pemeriksaan turut menemukan kesan luka dan lebam dipercayai akibat penganiayaan fizikal.-UTUSAN
The post Nenek berusia 39 tahun berdepan hukuman mati didakwa bunuh cucu 16 bulan appeared first on Utusan Malaysia.





