
Pelan langganan Netflix dengan sokongan iklan diperkenalkan di 12 negara sejak 2022. Netflix kini mengatakan pelan ini akan diperkenalkan di 15 lagi negara iaitu Austria, Belgium, Colombia, Denmark, Indonesia, Ireland, Belanda, New Zealand, Norway, Peru, Filipina, Poland, Sweden, Switzerland dan Thailand bermula tahun 2027.

Walaupun pada awalnya dilihat sebagai pelan yang regresif kerana memaparkan iklan dalam aplikasi, ia menjana pendapatan 2.5 kali ganda berbanding 2024. Di acara Netflix Upfront semalam, mereka turut mendedahkan pelan dengan iklan ini mempunyai 250 juta pelanggan berbanding 190 juta yang diumumkan November lalu.
Di Asia Tenggara hanya Indonesia, Filipina dan Thailand akan menerima pelan dengan sokongan iklan. Ini mungkin kerana jumlah penduduk yang lebih tinggi serta nilai wang tempatan lebih rendah membuatkan langganan pelan biasa menjadi terlalu mahal.
Pelan dengan iklan memaparkan iklan 15-30 saat di hadapan dan ditengah-tengah kandungan yang ditonton. Secara purata iklan sepanjang 5 minit akan dipaparkan untuk setiap 1 jam kandungan yang ditonton. Kualiti video dihadkan ke 720P sahaja, ciri muat turun tidak diberikan dan tidak semua kandungan Netflix boleh diakses.



