
PETALING JAYA – Belum reda isu harga pas parkir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang mencetuskan perdebatan sejak semalam, pengguna media sosial kini mula berseloroh mengenai penggunaan mata wang dinar Bahrain (BHD) dalam urusan jual beli ketika acara Formula 1 (F1) berlangsung.
Menerusi beberapa tangkap layar yang tular di media sosial, pas parkir bagi acara yang berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober ini dipaparkan dalam mata wang BHD dengan harga berbeza mengikut zon.
Antaranya, parkir PA1 disenaraikan pada harga BHD75.40 (kira-kira RM813.53), manakala P2 dan P3 masing-masing BHD60.32 (RM650.82) serta P4 pada BHD45.24 (RM488.12).
Harga bagi P5 dan P12 pula masing-masing BHD30.16 (RM325.41), manakala P6-7, P8, P9, P14 dan P17 ditawarkan pada BHD22.62 (RM244.06).
Sementara itu, parkir paling murah yang dipaparkan ialah P15 pada harga BHD15.08 (RM162.71).
Paparan harga berkenaan sejak semalam mengundang pelbagai reaksi apabila ramai terkejut melihat kos parkir yang dianggap tinggi, malah ada yang memilih untuk menggunakan pengangkutan awam atau perkhidmatan e-hailing.
Seorang pengguna Threads, @harryfederico_ berkata, dia sanggup meletakkan kenderaan berhampiran kawasan masjid di KLIA sebelum berjalan kaki beramai-ramai ke lokasi.
“Mampuslah harga parkir macam ini. Kita parkir dekat masjid KLIA sahaja. Jalan kaki beramai-ramai,” tulisnya.
“Hari tu nak lawan beli tiket F1, ni nak lawan beli pas parkir pula. Dari semalam tak lepas-lepas nak beli ni,” komen @Asyrafwd.
Namun, isu berkenaan turut menjadi bahan jenaka pengguna media sosial apabila penggunaan mata wang BHD pada laman tersebut menarik perhatian.
“Takut pula nak masuk tandas pun kena bayar 20 BHD, sanggup tahan kena batu karang,” seloroh @lily0fthevalle.
“Janganlah jual air mineral sebotol harga BHD. Naya, kena bawa air mineral siap-siap,” komen @Ros.
Terdahulu, Malaysia dipilih menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di SIC pada 2 hingga 4 Oktober ini, sekali gus menandakan kepulangan perlumbaan F1 ke Sepang selepas sembilan tahun.
Perlumbaan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Bahrain, namun dipindahkan ke Malaysia selepas penganjurannya di negara berkenaan tidak dapat diteruskan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Takut pula nak pergi tandas kena bayar dalam BHD’ appeared first on Kosmo Online.






