‘Titik terendah tinggal di Kelantan…’

25 Sep 2026 • 8:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Titik terendah tinggal di Kelantan…’

PETALING JAYA – “Titik terendah tinggal di Kelantan.”

Demikian luahan seorang pengguna media sosial selepas mendakwa berdepan masalah bekalan air apabila air yang diterima di kediamannya kelihatan keruh dan berwarna coklat.

Menerusi perkongsian di Threads, pengguna dikenali sebagai @_Zlfkr_ycb memuat naik rakaman keadaan air tersebut yang kemudian mengundang perhatian ramai.

Rakaman berkenaan menunjukkan air berwarna coklat sedang ditadah ke dalam sebuah bekas dipercayai di bahagian sinki rumah.

Menjengah ruangan komen, seorang pengguna, @idayaalatif meluahkan rasa simpati selain mempersoalkan mengapa masalah bekalan air sedemikian masih berlaku.

“Kasihan melihat penduduk terpaksa hidup dengan bekalan air seperti itu. Pelik mengapa masalah ini masih belum dapat diselesaikan.

“Sekiranya usaha penyelesaian dilakukan dengan baik dan bersungguh-sungguh, sudah tentu masalah ini boleh diselesaikan sejak dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, @Anak_kg24 mendakwa keadaan sama sering berlaku di kediamannya sehingga memaksa mereka mencari sumber air alternatif bagi memenuhi keperluan harian.

“Sudah banyak kali laporan dibuat, tetapi keadaannya masih sama. Di rumah kami, keadaan air memang sering seperti ini. Untuk menggunakan tandas sekalipun, kami terpaksa menadah air paip.

“Air daripada telaga tiub pula berbau busuk kerana kawasan tanah sawah. Untuk minuman, kami terpaksa membeli air mineral.

“Jangan kata kami tidak berikhtiar kerana telaga tiub juga sudah kami usahakan,” katanya.

Sementara itu, @Roziyahmahamad berkata keadaan tersebut mengingatkannya kepada masalah bekalan air yang pernah dilihat berlaku di Indonesia sehingga penduduk terpaksa mencari sumber alternatif.

“Apabila melihat keadaan di Kelantan, saya teringat Indonesia. Banyak video menunjukkan penduduk di sana menghadapi masalah air sehingga terpaksa menggali telaga serta membuat telaga tiub. Ketika musim kemarau, ada yang terpaksa bergantung kepada air hujan.

“Di negeri lain juga kadangkala berlaku gangguan bekalan air, tetapi masalah itu biasanya dapat dipulihkan. Di Kedah juga pernah berlaku dan rumah arwah ibu saya terpaksa membeli pam berharga RM1,500,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Titik terendah tinggal di Kelantan…’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved