Network School buka kampus di Kazakhstan selepas lesen operasi di Johor dibatalkan

22 Jul 2026 • 3:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Network School buka kampus di Kazakhstan selepas lesen operasi di Johor dibatalkan
Srinivasan dan Madiev (kanan) menandatangani MoU antara Network School dan Kazakhstan.

SHAH ALAM - Network School yang sebelum ini beroperasi di Forest City, Johor bakal membuka kampus baharu di Kazakhstan selepas pembatalan lesen perniagaannya oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang berkuat kuasa pada Rabu.

Pengasas Network School, Balaji Srinivasan turut mengumumkan satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara syarikatnya dengan Republik Kazakhstan bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, kampus baharu itu akan menjadi hab yang menggalakkan semangat tekno-optimisme di peringkat global menerusi beberapa perkara.

"Antaranya kemudahan proses visa yang dipercepatkan, pemindahan domisil korporat (redomiciliation) yang dipermudah dan usaha aktif untuk menarik bakat-bakat terbaik dari seluruh dunia.

"Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Republik Kazakhstan dan Network School," ulasnya.

Sebelum ini, MBIP mengumumkan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn Bhd (Network School) dibatalkan dan mengarahkan semua aktiviti syarikat itu dihentikan berkuat kuasa 22 Julai selepas didapati melanggar beberapa syarat pelesenan.

Antara pelanggaran yang dikenal pasti termasuk menjalankan operasi tanpa lesen yang sah bagi salah satu premis.

Kerajaan Johor turut menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan MBIP dan menegaskan penguatkuasaan itu dibuat berdasarkan undang-undang serta hasil penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan dan representasi yang dikemukakan pihak syarikat.

Sementara itu, Kementerian Kecerdasan Buatan dan Pembangunan Digital Kazakhstan memberitahu, MoU tersebut ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kecerdasan Buatan dan Pembangunan Digital negara itu, Zhaslan Madiyev bersama Balaji.

"Ia merupakan kerjasama strategik dalam bidang kecerdasan buatan (AI), inovasi, keusahawanan teknologi, dan pembangunan modal insan," ulasnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved