New Zealand Cadang Larang Media Sosial Untuk Bawah 16 Tahun

WorldTechnology
24 Aug 2026 • 11:29 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

New Zealand Cadang Larang Media Sosial Untuk Bawah 16 Tahun

Kerajaan New Zealand bercadang melarang kanak-kanak bawah usia 16 tahun daripada mengakses media sosial menerusi rang undang-undang yang dijadual dibentangkan di Parlimen, lapor Anadolu Ajansı.

Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon berkata, langkah itu diambil berikutan kebimbangan terhadap kesan penggunaan media sosial terhadap golongan muda.

Menurutnya, kira-kira seorang daripada tiga kanak-kanak menghabiskan sehingga lima jam sehari di media sosial, sekali gus mendedahkan mereka kepada teknologi ketagihan serta pelbagai tekanan yang boleh menjejaskan kehidupan keluarga, tidur, hubungan, kesihatan mental dan pendidikan.

“Media sosial sedang memudaratkan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan video di platform X.

Luxon berkata, hampir 40 peratus remaja turut menyatakan rasa kesal kerana media sosial pernah dicipta.

Menerusi rang undang-undang itu, jelasnya, platform media sosial akan dipertanggungjawabkan untuk memastikan pengguna bawah usia 16 tahun tidak dapat mengakses perkhidmatan berisiko tinggi.

Antara platform yang terlibat termasuk Instagram, TikTok, Snapchat, Facebook, YouTube dan X.

Menurut laporan itu, syarikat terbabit perlu mengambil langkah munasabah bagi mengesahkan umur pengguna, termasuk menerusi anggaran wajah, pengenalan digital atau dokumen pengenalan rasmi.

Syarikat yang gagal mematuhi peraturan itu pula boleh berdepan denda sehingga 10 peratus daripada jumlah hasil pendapatan tahunan global mereka.

Bagaimanapun, cadangan berkenaan dijangka berdepan cabaran apabila rakan gabungan kerajaan, ACT dan New Zealand First dilaporkan tidak menyokong langkah tersebut.

Situasi itu bermakna Parti National yang dipimpin Luxon mungkin memerlukan sokongan daripada pembangkang bagi meluluskan rang undang-undang berkenaan.

Baca juga:

New Zealand sekali gus menyertai beberapa negara lain yang mula mengambil langkah mengehadkan akses kanak-kanak dan remaja terhadap media sosial.

Australia menjadi negara pertama melaksanakan larangan media sosial secara nasional untuk kanak-kanak bawah 16 tahun yang berkuat kuasa pada Disember 2025, manakala Perancis, United Kingdom, Denmark, Malaysia dan Indonesia turut melaksanakan atau mencadangkan langkah sama bagi melindungi golongan muda daripada algoritma dan kandungan digital yang memudaratkan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved