
TOKYO: Seorang lelaki meninggalkan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun selama beberapa jam di Gunung Fuji, Jepun, ketika dia meneruskan pendakian, menyebabkan pihak berkuasa memberi teguran keras terhadapnya, menurut laporan polis dan media tempatan.
Kanak-kanak itu ditemuikan seorang diri di laluan pendakian pada Khamis sebelum dibawa ke bawah jagaan polis, kata seorang pegawai polis di wilayah Shizuoka kepada AFP pada Sabtu.
Kanak-kanak itu memberitahu bapanya bahawa dia sudah keletihan ketika berada di stesen keenam gunung berkenaan, yang terletak pada ketinggian lebih 2,000 meter, lapor stesen televisyen tempatan SBS.
Menurut SBS, memandangkan abangnya sudah berjalan lebih dahulu, bapa kanak-kanak berusia tujuh tahun itu menyuruhnya tunggu sebelum meneruskan pendakian bersama seorang lagi anak lelakinya.
Saluran televisyen TV Asahi melaporkan bahawa kanak-kanak itu diminta menunggu selama lapan jam dengan hanya berbekalkan makanan ringan dan minuman ringan, serta tanpa wang, menurut kakitangan sebuah pondok gunung yang memaklumkan kehadirannya kepada polis.
Pegawai kemudian menghubungi bapanya yang berada di stesen kelapan. Budak itu kemudian diserahkan kepadanya.
Pegawai polis itu memberitahu AFP bahawa anggota polis memberi teguran keras kepada lelaki berkenaan kerana meninggalkan anaknya.
Bapa kanak-kanak itu dilaporkan memohon maaf kepada polis dan mengakui bahawa tindakannya adalah cuai. – AFP
The post Pendaki tinggalkan anak ketika mendaki gunung diberi teguran keras appeared first on Utusan Malaysia.






