NGO lapor SPRM dakwaan transaksi kewangan libat bekas menteri

LocalPolitics
10 Apr 2026 • 4:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ketua Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embon buat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan transaksi kewangan berjumlah RM500,000 yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri.

PUTRAJAYA - Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan transaksi kewangan berjumlah RM500,000 yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri.

Ketua Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embon berkata, laporan itu bagi membolehkan SPRM menyiasat dakwaan skandal mesin layan diri yang didedahkan oleh sebuah portal baru-baru ini.

"Kami menyerahkan kepada polis dan SPRM untuk menyiasat sama ada benar atau tidak. Itu bidang kuasa mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Jumaat.

Tegas beliau, laporan tersebut bukan bermotifkan serangan peribadi terhadap mana-mana pihak, sebaliknya dibuat atas dasar kepentingan awam dan integriti pentadbiran negara.

“Perkara ini sudah tular dan menjadi persepsi masyarakat.

"Sama ada benar atau tidak, ia perlu disahkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan persepsi," katanya.

Sebelum ini, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan beliau menerima rasuah sebanyak RM500,000 daripada pemilik NexG Bhd, Datuk Abu Hanifah Noordin bagi tujuan melanjutkan kontrak syarikat tersebut pada 2023.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, dakwaan yang dibuat sebuah blog tidak terkenal itu hanyalah tuduhan liar yang mana garis masa yang dinyatakan adalah tidak selari dengan realiti semasa pada ketika itu.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, beliau tidak pernah berjumpa Abu Hanifah atau sesiapa dari NexG seumur hidupnya selain tidak kenal ‘watak utama’ pencitraan di dalam blog berkenaan iaitu Mohd Harizan Haris dari syarikat GFIS Sdn Bhd.