
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bila sebut tentang scammer, antara yang paling popular adalah penipuan wang dalam pelaburan, percintaan (love scam) dan tawaran kerja di mana seseorang perlu memberi wang deposit sebelum memulakan sesuatu pekerjaan.
Namun sejak belakangan ini, terdapat pelbagai jenis scam yang berlaku melibatkan perkara kita sendiri tidak jangkakan.
Lelaki Baru Pindah Cari Perkhidmatan Penghantaran Anak Ke Sekolah
Semalam (8 Jun), tular di media sosial hantaran seorang lelaki yang didakwa menjadi mangsa penipuan scammer yang kononnya menyediakan perkhidmatan pengangkutan ke sekolah.
Perkara itu dikongsikan oleh lelaki berkenaan dalam satu hantaran di Threads @firdausmalek.
Menerusi hantaran tersebut, Firdaus berkongsi tangkap layar perbualannya yang mahu mencari pengangkutan ke sekolah buat anaknya kerana baru sahaja berpindah di kawasan tersebut.
Berdasarkan tangkap layar yang dikongsikan, scammer berkenaan yang menggelarkan dirinya sebagai Acik Noor memaklumkan kepada Firdaus bahawa dia menggunakan kereta jenis Perodua Alza dan tidak mengambil ramai pelajar untuk dihantar dan diambil dari sekolah.
Malah, Acik Noor turut menjelaskan bahawa bayaran yang dikenakan adalah RM130 sebulan manakala RM65 bagi perjalanan sehala.
Lelaki Setuju Dengan Perkhidmatan Hantar Anak Ke Sekolah, Terus Bayar Deposit & Yuran Van
Setuju dengan harga yang dikenakan, Firdaus memaklumkan bahawa dia akan menggunakan perkhidmatan Acik Noor bermula 9 Jun dan terus membuat bayaran bulanan serta deposit RM180 kepada scammer berkenaan.
Bukan itu sahaja, scammer terbabit turut memaklumkan kepada Firdaus tentang bayaran pada bulan hadapan.
Jelas Acik Noor, dia tidak menetapkan tarikh yang perlu dibayar sebaliknya terpulang kepada Firdaus untuk membuat bayaran.

Malah, scammer itu turut memberi balasan yang meyakinkan dengan mendapatkan kepastian daripada Firdaus bahawa dia akan memulakan perkhidmatan mengambil anak lelakinya itu bermula 9 Jun.
Individu Janji Nak Jumpa Tapi Tak Muncul, Nombor Pendaftaran Rupanya Milik Kereta Proton X70 Di Kuala Lumpur
Scammer berkenaan turut berjanji untuk berjumpa dengan Firdaus sehari sebelum perkhidmatannya digunakan di hadapan sekolah selain memberi butiran nombor pendaftaran kenderaan serta jenis kereta yang digunakan.
Namun segalanya terbongkar apabila Firdaus menunggu Acik Noor di hadapan sekolah namun individu terbabit tidak muncul pada waktu yang dijanjikan malah, dia cuba menghubungi individu terbabit namun gagal.

Lebih mengejutkan, kongsi Firdaus di ruangan komen, hasil semakan terhadap nombor plate kenderaan yang diberi mendapati ia didaftarkan pada sebuah kereta jenis Proton X70 atas nama seorang individu di Kuala Lumpur.

“Silap saya juga tak minta lesen memandu,” tulisnya.
View on Threads
Warganet Tak Sangka Perkhidmatan Hantar Anak Ke Sekolah Pun Ada Scammer, Ramai Rupanya Dah Jadi Mangsa
Hantaran yang telah mendapat lebih 920,000 tontonan itu nyata mendapat perhatian pengguna media sosial.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang terkejut dan tidak menyangka individu berkenaan merupakan seorang scammer apatah lagi balasan WhatsApp yang dibuat amat meyakinkan.
Namun rupanya ada warganet yang pernah menjadi mangsa penipuan indvidu yang menggunakan nombor telefon tersebut ketika mahu mendapatkan perkhidmatan van sekolah serta khemah kenduri.
Malah, ada pengguna media sosial berkongsi hasil semakan mereka menerusi aplikasi TrueCaller bahawa nombor tersebut sememangnya merupakan seorang scammer yang dinamakan sebagai ‘scammer van sekolah’.
Ini antara komen pengguna Threads:
“Cara Reply Dah Sopan & Sangat Menyenangkan. Siap Ikut Gaji Bila Lah, Minta Jadual La, Sakit Hati Aku”

“Bahayanya. Nasib Baik Juga Dia Tak Datang, Dia Boleh Guna Trick Yang Sama Untuk Culik Budak”

“Ya Allah Nasib Baik Allah Jauhkan Saya Dari Dia Ni, Hari Tu Survet Khemah Kenduri Anak Dekat Facebook”

“Kitaorang Pun Dah Kena Awal Tahun Hari Tu”

“Bang, Saya Pun Baru Kena 30hb Hari Tu Untuk Khemah Majlis Kahwin Saya, Burn RM350”

Baca Artikel Berkaitan: Risau Jadi Mangsa Scam? Ini Cara Semak Nombor Akaun Bank & Telefon Scammer
Baca Artikel Berkaitan: Kedai Pizza Dedah Ada Scammer Guna AI Sunting Gambar Konon Terima Piza Mentah Untuk Dapat Refund [Video]





