
PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengangkat sumpah jawatan sebagai Senator bagi penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah di Dewan Negara hari ini.
Nik Mohamad Abduh dipilih semula Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di bawah Perkara 45(1)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 7 Julai 2026 hingga 6 Julai 2029.
Anak bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu, sebelum ini dilantik sebagai Senator mewakili Kelantan bagi penggal pertama dari 8 Julai 2023 hingga 7 Julai lalu, selain pernah menjadi Ahli Parlimen Pasir Mas dan Bachok.
Sementara itu, Awang Bemee dalam ucapannya berkata, pemilihan semula itu mencerminkan keyakinan dan kepercayaan berterusan terhadap kewibawaan, pengalaman serta keupayaan Nik Mohamad Abduh untuk terus menyumbang kepada persidangan dan perjalanan institusi Parlimen.
Beliau berkata, sumpah dilafazkan seorang Senator membawa amanah besar untuk mempertahankan Perlembagaan, menjunjung kepentingan rakyat serta memastikan suara setiap negeri terus diberi tempat sewajarnya.
“Sumpah dilafaz membawa satu amanah yang besar. Amanah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, menjunjung kepentingan rakyat dan memastikan suara rakyat setiap negeri terus diberi tempat yang sewajarnya dalam proses pembentukan dasar dan undang-undang negara,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman Nik Mohamad Abduh sepanjang penggal pertama di Dewan Negara diharap dapat terus dimanfaatkan bagi memperkukuh peranan institusi itu, membawa suara Kelantan, meneliti dasar dan perundangan negara serta memperjuangkan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, Awang Bemee menegaskan komitmen Parlimen Malaysia untuk terus memperkukuh institusi legislatif negara termasuk menerusi penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memperteguh prinsip pengasingan kuasa, meningkatkan keberkesanan fungsi semak dan imbang serta memperkukuh autonomi dan kedudukan Parlimen.
“Sesungguhnya Parlimen yang kukuh akan memperkukuhkan demokrasi dan demokrasi yang kukuh akan membawa kepada pemerintahan yang lebih bertanggungjawab,” katanya.
Menurut takwim Parlimen, persidangan Dewan Negara bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Ke-15 akan berlangsung selama 14 hari bermula 30 November depan. – UTUSAN
The post Nik Mohamad Abduh dilantik semula sebagai Senator appeared first on Utusan Malaysia.






