
MUKADIMAH
BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), DATUK ZAID IBRAHIM menyifatkan kerjasama Pas dan UMNO sebagai kunci utama untuk mengembalikan kekuatan politik Melayu, selain memastikan pentadbiran negara dapat diperkukuhkan.
Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dan MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI, dibantu jurufoto M. FIRDAUS M. JOHARI dan juruvideo ZUID SAMSON, beliau berkata, perbezaan kepentingan politik dan perebutan kerusi tidak seharusnya mengatasi agenda penyatuan ummah tersebut.
Beliau yang kini ahli Pas berkata, sekiranya kerjasama Pas-UMNO melalui gabungan Perikatan Nasional-Barisan Nasional (PN-BN) dapat dikekalkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), kedua-dua parti berpotensi memenangi sekurang-kurangnya 120 kerusi Parlimen.
UTUSAN: Pandangan Datuk mengenai usaha Pas untuk bekerjasama dengan UMNO?
ZAID: Saya rasa kalau kita tolak Pas, parti Melayu terbesar, maknanya kita tolak penyatuan Melayu, ia kekuatan orang Melayu. Sebab kita kena ingat, orang Melayu ini dia rasa dia kuat.
Tapi sebenarnya kalau kita imbas kembali sejarah, orang Melayu tidak sedar kita lemah.
Kita yang banyak berkelahi tentang tafsiran agama, yang banyak rasuah pun kita.
Sebab itu kita perlu penyatuan ini, tapi kesedaran susah kita nak sampaikan kerana kita orang Melayu ini kurang faham sejarah.
Bila kita hendak merdeka, contohnya, maka British ada perbincangan dengan negeri-negeri Melayu. Tahun 1956, kita ada Suruhanjaya Reid dan sebagainya dan salah satu perkara yang dibincangkan pada masa itu ialah tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang, Sultan Badlishah ketika itu membuat nota bantahan bahawa salah satu perkara yang perlu selesaikan adalah soal Pulau Pinang, tapi tuntutan itu ditolak, sebab Pulau Pinang diiktiraf sebagai salah sebuah negeri dalam Malaysia.
Sebab apa ditolak? Sebab kita tidak ada kekuatan untuk menuntut semasa merdeka. Maka hilanglah. Sebab kita tidak ada kekuatan semasa Malaysia ditubuhkan.
Negara masa itu merdeka enam tahun sebelum ada Sabah dan Sarawak yang ketika itu jajahan British.
Tapi hari ini orang sudah sebut, kita buat Malaysia ini sebagai rakan kongsi kuasa bersama.
Apakah sebuah negara merdeka berkongsi kuasa bersama dengan dua negeri jajahan British? Tapi kita tidak boleh melawan sebab British mengawal terma Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sebab itu, Sabah, Sarawak ada autonomi, ada kelebihannya, pentadbiran berbeza.
Jadi siapa lebih kuat, orang Melayu di sini atau orang Sabah, Sarawak? Peruntukan seperti itu pun kita tidak boleh lawan pada 1963.
Kalau kita kuat, apakah Singapura kita hilang begitu sahaja? Maksudnya orang Melayu masih lagi tidak sedar. Tahun 2018 kita hilang kuasa dua pertiga. Apa jadi? Sekarang ini, soal kelemahan orang Melayu dibongkarkan, rasuah, kita tidak tahu mentadbir, tidak tahu melantik ketua audit, kita parti perkauman, semata-mata kita ajak orang Melayu bersatu, kita dikata perkauman.
Sebab itu Tun Dr. Mahathir Mohamad kata, kalau kita Melayu hilang kuasa, rakyat hilanglah segala-galanya.
Saya ambil berat pesanan Tun, saya harap Pas dan UMNO bersatulah. Politik nak jaga kawasan, siapa jadi Perdana Menteri itu kita ketepikanlah dulu. Kita perlu perkuatkan penyatuan ini.
Apakah titik penyatuan untuk orang Melayu dan Islam dalam negara ini?
Titik penyatuan itu adalah keikhlasan, kalau tidak ada keikhlasan, tidak adalah penyatuan.
Sebab itu dalam Islam, kepimpinan itu penting, amanah dipegang tinggi, tapi nak praktikkan benda itu susah, sebab kita zaman kuasa, zaman nak kaya.
Soal kepimpinan di atas yang ada masalah itu biar mereka selesaikan, saya menyeru kepada orang Islam, kita perlu mempunyai iltizam yang kukuh supaya kita bersatu, parti kekal berkuasa untuk mentadbir negara.
Tanah rizab Melayu berjuta hektar. Kita nak bangunkan, kita tidak boleh buat, apa pernah kita fikir penyelesaian, takkan kita nak harap bantuan bangsa lain? Apa guna kita cakap orang Melayu banyak tanah rizab, apa guna tanah kalau tidak boleh diekonomikan, tidak boleh keluarkan hasil?
Apa guna 200,000 orang Melayu setahun keluar daripada universiti, tapi kerja pun tiada, gaji tidak setimpal, apa guna? Tapi siapa nak selesaikan semua ini?
Memang ada pemimpin Melayu yang baik, ada yang tidak baik, ada yang rasuah, ada yang amanah, tapi kita carilah yang terbaik antara kita.
Tapi kita tidak boleh tinggalkan atau abaikan usaha ini, kita tidak boleh takut untuk menyatupadukan bangsa kita. Sebab itu, penyatuan Melayu adalah agenda yang besar dan harap dapat dilaksanakan dalam pilihan raya.
Namun, penyatuan ini seolah-olah masih belum diterima sepenuhnya oleh UMNO dan BN?
Kalau BN tidak mahu bersatu nak buat macam mana, tapi bagi pengundi Melayu, saya rasa tidak mengapalah kalau UMNO tidak mahu (kerjasama), undilah Pas.
Saya harap Pas jangan abaikan tanggungjawab, dalam Islam, kita kena jaga ummah, bukan tanggungjawab politik sahaja, tanggungjawab agama juga.
Kalau kita berpecah semata-mata kerana kerusi, tidak bolehlah.
Sebab itu, kalau kita nak selesaikan masalah rasuah dan sebagainya, kita kena ubahlah, kalau UMNO tidak mahu bersama dengan Pas di Melaka, tidak mengapalah kita (Pas) tanding sendiri, kita cubalah.
Yang merugikan adalah pemimpin Melayu, orang Melayu di bawah kena tolak pemimpin yang belot, yang menggagalkan usaha penyatuan ini, baru ada yang faham, ketika mereka belot, mereka akan dihukum oleh pengundi.
Adakah dengan penyatuan ini, hak orang Melayu akan lebih terjamin?
Saya yakin kalau kita Melayu bersatu, tidak susah untuk kita menang.
Saya juga percaya dengan kekuatan itu kita boleh pastikan Petronas kita punya, 60 tahun kita punya, sekarang kita kena kongsi dengan Sarawak, sebab kekuatan politik tidak ada.
Orang Melayu sedar akan perkara ini, cuma pemimpin Melayu di atas itu tidak rasa begitu terdesak sebab mereka memikirkan kepentingan mereka.
Saya menyeru orang Melayu tolak pemimpin seperti ini, kita tidak ada masa untuk dibuang.
Kuatkan komponen pemerintahan Melayu Islam supaya institusi kerajaan kita dapatkan dan dasar negara kita boleh perbetulkan.
Kita tidak boleh jadikan kelemahan yang berlaku zaman dulu itu, kita tidak boleh nak buat apa-apa dan benda itu sudah berlaku.
Tapi jangan kita hilang lagi, jangan kita terlalu lemah dalam kuasa, itulah yang saya harapkan.
Sekiranya kerjasama Pas-UMNO, PN-BN dikekalkan pada PRU-16, jangkaan Datuk berapa kerusi boleh dimenangi?
Jika Pas kekal kerjasama dengan UMNO, sekurang-kurangnya 120 kerusi boleh dimenangi, ini mampu direalisasi, ada yang sudah buat kajian pun, cuma yang susah ada sesetengah pemimpin UMNO yang seperti tidak mahu kerjasama ini.
Saya akan berusaha meyakinkan orang ramai sebagaimana cara yang saya boleh melalui platform yang ada. Seruan ini bukan sahaja untuk orang Melayu sahaja, tapi kepada semua bangsa.
Cuma teras kepimpinan untuk negara ini mestilah orang Melayu, kalau lihat (teras kepimpinan) di Singapura mestilah orang Cina, takkanlah orang India, kalau di Indonesia mestilah orang Jawa, takkanlah orang Sumatera, ini majoriti rakyat.
Itu sejarah, ‘real’ politik, kita bukan nak perkauman, tapi kita mahu semua sedar dan kita mesti capai perkara ini. – UTUSAN
The post Penyatuan Melayu mampu menangkan Pas-UMNO 120 kerusi appeared first on Utusan Malaysia.






