
PETALING JAYA: Rekod tanpa kalah dan tanpa bolos dalam empat perlawanan Piala ASEAN FIFA 2026 boleh menjadi asas utama untuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi peluang kepada Tan Cheng Hoe mengendalikan Harimau Malaya secara tetap.
Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, Cheng Hoe wajar diberi tempoh sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun untuk membuktikan kemampuannya membimbing Harimau Malaya.
Menurut pemain yang membawa Malaysia layak ke Olimpik di Munich, Jerman Barat pada 1972, pencapaian berkenaan membuktikan jurulatih tempatan juga mampu membawa skuad kebangsaan bersaing pada tahap tinggi, terutama apabila dibekalkan barisan pemain berkualiti.
Justeru, beliau berpandangan sudah tiba masanya semua pihak memberikan kepercayaan kepada jurulatih tempatan dan tidak terlalu mengagungkan pengendali asing sehingga mengetepikan kemampuan anak tempatan.
“Beri ruang dan peluang kepada jurulatih tempatan kerana mereka juga mempunyai kelayakan dan lesen profesional. Tidak boleh selepas dua atau tiga perlawanan, atau baru setahun, kita terus mahu memecat mereka.
“Bola sepak ini satu proses yang panjang. Bukan bermain hari ini, esok terus pandai. Mengenai Cheng Hoe, saya rasa berikan dia ruang dan peluang walaupun dia pernah menjadi ketua jurulatih sebelum ini.
“Beri dia tempoh dua atau tiga tahun. Tahun pertama kita lihat keputusan, manakala tahun kedua dan ketiga nilai berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI). Jika gagal mencapai KPI, barulah pertimbangkan perubahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Jamal berkata, rekod Harimau Malaya sepanjang kempen berkenaan memperlihatkan potensi pasukan itu untuk terus berkembang di bawah bimbingan Cheng Hoe, sekali gus menepis tanggapan bahawa jurulatih tempatan tidak mampu mengendalikan skuad kebangsaan dengan berkesan.
Katanya, pelantikan jurulatih asing juga tidak semestinya menjamin kejayaan jika pasukan tidak memiliki pemain yang mampu memenuhi tuntutan taktikal dan bersaing pada tahap tertinggi.
“Kalau kita lihat pada Piala ASEAN FIFA, Harimau Malaya tidak kalah, malah tidak dibolosi satu gol pun. Ini menunjukkan pasukan kita juga kuat walaupun dibimbing jurulatih tempatan dan paling penting, kita perlu mempunyai barisan pemain yang bagus.
“Kalau lantik jurulatih luar pun kadang-kadang tiada beza dan mungkin boleh jadi lebih teruk. Sebelum ini, tanpa pemain berkualiti, Harimau Malaya yang dibimbing jurulatih luar juga tewas,” ujarnya.
Kelmarin, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan, menjelaskan kedudukan Cheng Hoe yang kini berstatus ketua jurulatih interim Harimau Malaya akan dibincangkan bersama Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bolasepak Kebangsaan dan Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu.
Masa depan Cheng Hoe menjadi perhatian selepas Harimau Malaya menampilkan prestasi memberangsangkan dalam kempen Piala ASEAN FIFA dengan merekodkan tiga kemenangan dan satu keputusan seri, meskipun menamatkan saingan di tangga ketiga.
Menariknya, skuad negara berjaya menamatkan penantian 12 tahun untuk menewaskan Vietnam apabila mencatat kemenangan 1-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga, selain mengekalkan rekod tanpa bolos sepanjang empat perlawanan kempen berkenaan.-UTUSAN
The post Nilai Cheng Hoe berdasarkan KPI appeared first on Utusan Malaysia.






