Saham Mega Fortris menjunam 15.7% kepada RM2.42, Bursa Malaysia gantung jualan singkat

LocalBusiness & Finance
4 Nov 2026 • 10:31 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham Mega Fortris menjunam 15.7% kepada RM2.42, Bursa Malaysia gantung jualan singkat Image from: Saham Mega Fortris menjunam 15.7% kepada RM2.42, Bursa Malaysia gantung jualan singkat johardy04/11/2026 - 10:31 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov - Saham Mega Fortris Berhad menjunam 45 sen atau 15.7% kepada RM2.42 dalam dagangan pagi ini, ketika Bursa Malaysia mengumumkan penggantungan aktiviti jualan singkat intrahari (IDSS) bagi saham pengeluar meterai keselamatan itu.

 

Saham Mega Fortris dibuka pada RM2.90 berbanding harga rujukan RM2.87, sebelum meningkat kepada paras tertinggi RM2.97 dan kemudiannya merosot sehingga RM2.42.

 

Pada paras RM2.42, saham syarikat itu mencatatkan penurunan sebanyak 15.7%, dengan harga tertinggi dalam tempoh 52 minggu sebanyak RM3.48 dan terendah 74.5 sen.

 

Menurut pengumuman khas Bursa Malaysia hari ini, aktiviti IDSS bagi saham Mega Fortris (MEGAFB, 5327) digantung untuk baki hari dagangan selepas harga dagangan terakhirnya melepasi had penurunan 15% atau 15 sen daripada harga rujukan yang ditetapkan.

 

Bursa Malaysia memaklumkan aktiviti IDSS hanya akan diaktifkan semula pada Khamis, 5 November 2026, mulai pukul 8.30 pagi, manakala urus niaga biasa saham syarikat itu tidak terjejas oleh penggantungan berkenaan.

 

Kejatuhan lebih RM1 bilion minggu lalu

Perkembangan terbaharu itu menyusuli kejatuhan mendadak saham Mega Fortris selama dua hari minggu lalu, yang menghapuskan lebih RM1 bilion daripada nilai pasaran syarikat.

 

Saham Mega Fortris merosot 71 sen atau 20.6% kepada RM2.74 pada Khamis lalu, sebelum jatuh lagi 52 sen atau 19% kepada RM2.22 pada Jumaat.

 

Kejatuhan tersebut mendorong Bursa Malaysia mengeluarkan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) kepada syarikat pada 30 Oktober 2026.

 

Dalam maklum balasnya kepada Bursa Malaysia, Mega Fortris memaklumkan bahawa Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebasnya, Datuk Ng Meng Kee dan pemegang saham utama, Mega Fortris Global Pte Ltd telah memperoleh perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan dokumen berkaitan urus niaga saham pada Mac lalu.

 

Perintah mahkamah melibatkan urus niaga Mac

Perintah itu menghendaki Affin Hwang Nominees Tempatan Sdn Bhd mengemukakan dokumen mengenai hubungannya dengan Safari Asia Ltd serta rekod lima transaksi saham Mega Fortris antara 25 hingga 31 Mac 2026.

 

Lima transaksi tersebut melibatkan 17.74 juta saham daripada keseluruhan 42 juta saham Mega Fortris yang dipegang Affin Hwang Nominees bagi pihak Safari Asia, yang bertindak untuk Brookland Group & Partners Ltd.

 

Dokumen berkenaan perlu disediakan untuk pemeriksaan dan salinan oleh Ng dan Mega Fortris Global atau peguam mereka dalam tempoh 21 hari selepas perintah mahkamah diserahkan.

 

Mega Fortris menegaskan perintah mahkamah itu hanya berkaitan pendedahan dokumen dan maklumat, manakala syarikat belum dimaklumkan mengenai hasil pemeriksaan atau sebarang penemuan daripada proses berkenaan.

 

Sehubungan itu, lembaga pengarah syarikat menyatakan pihaknya belum dapat menentukan sama ada perkara yang disebut dalam perintah mahkamah mempunyai kaitan dengan pergerakan luar biasa harga sahamnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved