Nilai RM7.9 bilion Datasonic Technologies dibuat berdasarkan kaedah aliran tunai terdiskaun - NexG  

Business & Finance
21 Aug 2026 • 12:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nilai RM7.9 bilion Datasonic Technologies dibuat berdasarkan kaedah aliran tunai terdiskaun - NexG   Image from: Nilai RM7.9 bilion Datasonic Technologies dibuat berdasarkan kaedah aliran tunai terdiskaun - NexG   hamden21/08/2026 - 12:04 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos - NexG menjelaskan nilai RM7.5 billion bagi cadangan pengambilalihan anak syarikatnya Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) dibuat berdasarkan penilaian dalaman menggunakan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF) dan bukannya penilaian dalaman secara jumlah bahagian (sum-of-the-parts) seperti dilaporkan media.

 

Dalam pemakluman bagi menjawab pertanyaan lanjut Bursa Malaysia, NexG berkata, penilaian tersebut mengambil kira pelbagai faktor, termasuk keupayaan DTSB menjana pendapatan pada masa hadapan, unjuran aliran tunai masa depan, kemampanan perniagaan serta faktor-faktor lain yang relevan yang mempengaruhi perniagaan dan operasi DTSB.

 

"Berdasarkan penilaian dalaman itu, pihak pengurusan telah menganggarkan nilai indikatif DTSB pada kira-kira RM7.5 bilion.

 

"Lembaga telah menyemak dan mempertimbangkan asas, andaian serta metodologi yang digunakan dalam penilaian dalaman tersebut dan meluluskan penggunaan nilai indikatif kira-kira RM7.5 bilion itu semata-mata bagi tujuan memberikan harga indikatif kepada Kerajaan," kata syarikat itu.

 

Bukan Tawaran Muktamad

NexG menambah, bagi mengelakkan sebarang keraguan, nilai indikatif tersebut adalah hasil daripada penilaian dalaman yang dijalankan oleh pihak pengurusan dan bukan merupakan penilaian bebas, nilai transaksi yang telah dipersetujui atau tawaran muktamad.

 

Katanya, sebarang potensi transaksi masih tertakluk kepada perbincangan dan rundingan lanjut antara pihak-pihak berkaitan dan/atau penilaian bebas, jika bersesuaian.

 

Lembaga pengarah syarikat turut mengakui bahawa DTSB pada masa ini merupakan perniagaan teras Kumpulan dan penyumbang utama kepada hasil serta pendapatan Kumpulan.

 

Sehubungan itu, sebarang pelupusan DTSB, sekiranya direalisasikan, boleh memberi kesan material terhadap operasi perniagaan dan prestasi kewangan Kumpulan. 

 

"Ia juga berkemungkinan menjejaskan skala operasi Kumpulan serta status penyenaraian berterusannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd (“Bursa Securities”) menurut Perenggan 8.03A Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (“MMLR”) Bursa Securities.

 

"Oleh itu, sekiranya cadangan transaksi tersebut direalisasikan atau diteruskan, Syarikat akan mengambil semua langkah yang perlu bagi mematuhi keperluan yang terpakai di bawah MMLR Bursa Securities dan/atau undang-undang serta peraturan lain yang berkaitan.

 

"Ini termasuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pemegang saham Syarikat, Bursa Securities dan/atau pihak berkuasa berkaitan, jika berkenaan," jelasnya.

 

Butiran Bagaimana Pertanyaan Bermula

Mengulas lanjut mengenai butiran pertanyaan itu, NexG berkata, syarikat telah diminta oleh Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kewangan (MOF) untuk memberikan harga indikatif bagi kemungkinan pengambilalihan anak syarikat milik penuhnya itu.

 

"Permintaan itu telah disampaikan kepada DTSB secara lisan dalam satu mesyuarat bersama MOF yang diadakan pada 24 Julai 2026 dan tidak dibuat melalui sebarang dokumen bertulis.

 

"Dalam mesyuarat berkenaan, MOF meminta DTSB menyediakan penilaian bagi tiga senario berpotensi, iaitu:

 

(i) pampasan yang mungkin perlu dibayar sekiranya berlaku penamatan kontrak pembekalan MyKad antara Kementerian Dalam Negeri dan DTSB;

 

(ii) harga indikatif bagi kemungkinan pengambilalihan DTSB; dan

 

(iii) harga indikatif berhubung kemungkinan pengambilalihan pegangan saham kawalan dalam NexG, selaku syarikat induk DTSB.

 

Saham Tembusi Paras Rintangan

Dalam pada itu, berita kemungkinan berlaku pengambilalihan pegangan itu telah menyebabkan saham NexG berjaya menembusi paras rintangan 32 sen.

 

RHB Research berkata, saham NexG berpotensi meneruskan momentum kenaikan, dengan pembentukan graf lilin panjang dalam sesi dagangan terbaharu menunjukkan momentum kenaikan yang semakin kukuh.

 

Firma itu dalam nota penyelidikannya berkata penembusan paras berkenaan memberi isyarat momentum kenaikan harga masih berterusan, dengan 35 sen dan 38 sen dikenal pasti sebagai paras rintangan seterusnya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved