hamden14/08/2026 - 10:35 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kejayaan Gamuda Bhd memperoleh satu lagi kontrak berkaitan tenaga boleh baharu (RE) menjadikan jumlah kontrak solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) kumpulan itu di Australia kepada RM4.76 bilion dalam tempoh tiga bulan.
RHB Research berkata, penganugerahan kontrak terbaharu itu tidak mengejutkan kerana pada Mac 2026, Gamuda telah dipilih sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) oleh syarikat sama Edify Energy.
Selepas itu pada Mei lalu pelanggan sama menganugerahkan kontrak projek solar dan BESS Smoky Creek serta Guthrie’s Gap bernilai lebih RM3 bilion .
Terbaharu, anak syarikat Australia Gamuda, DT Infrastructure Pty Ltd (DTI), memperoleh dua kontrak EPC bernilai keseluruhan RM1.64 bilion bagi projek hibrid solar dan BESS Ganymirra serta Majors Creek di Queensland.
Kontrak terbaharu itu turut menandakan projek tenaga boleh baharu ketujuh DTI di Australia, mengukuhkan lagi rekod prestasinya dalam sektor solar dan penyimpanan tenaga.
Menurut RHB Research dengan kemenangan terbaharu itu, Gamuda kini telah menukar sebahagian daripada saluran projek tenaga boleh baharu berkapasiti sekitar 4GW di Malaysia dan Australia kepada buku pesanan yang telah diperoleh.
Margin Keuntungan
Dari sudut margin, kontrak terbaharu itu, sama seperti projek yang dianugerahkan pada Mei, merupakan kontrak EPC berharga tetap dengan margin keuntungan sebelum cukai (PBT) sekitar 5%.
"Perkembangan tersebut dijangka meningkatkan keterlihatan pendapatan Gamuda dalam tempoh sederhana, dengan projek terbaharu dijangka menyumbang kepada hasil dan keuntungan mulai FY2027 sehingga projek siap," katanya.
Sementara itu, CGS International (CGSI) berkata, Gamuda dijangka melepasi sasaran buku pesanan RM50 bilion bagi tahun kalendar 2026 (CY26), selepas kumpulan itu meraih kontrak baharu bernilai RM2 bilion, menjadikan jumlah buku pesanannya kini RM56 bilion.
Menurutnya, kemenangan kontrak terbaharu itu menjadikan jumlah kontrak baharu Gamuda bagi tahun kewangan 2027 setakat ini (YTD FY27F) sebanyak RM3.7 bilion, berbanding kira-kira RM24 bilion yang diraih sepanjang FY26F.
“Dengan kemenangan ini, kami yakin Gamuda akan melepasi sasaran buku pesanan RM50 bilion menjelang akhir CY26 kerana ia hanya memerlukan tambahan RM1 bilion kontrak baharu untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya.
CGSI berkata, perhatian pelabur dijangka beralih kepada keupayaan kumpulan menterjemahkan buku pesanan yang kukuh itu kepada pertumbuhan pendapatan, khususnya mulai FY2027.
Pihaknya juga kekal selesa dengan unjuran kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) EPS dua tahun sebanyak 24% bagi FY26F hingga FY28F, mencerminkan jangkaan terhadap kitaran peningkatan pendapatan yang lebih kukuh.
Susulan perkembangan tersebut, CGSI mengekalkan saranan 'TAMBAH' terhadap saham Gamuda dengan harga sasaran (TP) RM5.78, berdasarkan penilaian Sum-of-the-Parts (SOP). - DagangNews.com





