
PELAKON terkenal, Datin Lisa Surihani berkongsi momen bermakna ketika berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji saat ini.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di media sosial miliknya, Lisa tampil dengan sebuah coretan menyentuh hati mengenai perjalanan rohani yang sedang dilaluinya sepanjang berada di bumi Makkah.
“Menjawab seruan-NYA, empunya diri datang penuh kelemahan dan dosa, mengharapkan dan merayu keredaan sepenuhnya daripada-NYA,” tulis Lisa.

Dalam pada itu, isteri kepada penyanyi dan pelakon Datuk Yusry Abdul Halim itu turut menitipkan refleksi mendalam tentang kehidupan manusia yang menurutnya sentiasa melalui “versi Arafah, Mudzalifah dan Mina” dalam kehidupan seharian.
Menurut Lisa, 40, ujian kehidupan bukan hanya berlaku ketika berada di Tanah Suci atau pada hari-hari tertentu dalam bulan Zulhijjah, sebaliknya setiap insan diuji dalam pelbagai bentuk sepanjang perjalanan hidup.
“Setiap hari siang dan malam, yang mana jua kita berada, kita lalui versi Arafah, Mudzalifah dan Mina kita yang tidak terikat pada hari-hari Zulhijah. Ujiannya bukan sahaja di sini,” katanya lagi.
Pemilik nama Lisa Surihani binti Mohamed itu berharap pengalaman menunaikan haji memberi ruang untuk bermuhasabah dan memperbaiki kekurangan diri sebagai hamba ALLAH.

“Moga rehlah ubudiyah ini menanamkan perubahan yang baik dalam jiwa, keikhlasan dalam amal, ketenangan yang melapangkan dada, penambah baik hubungan dengan Sang Pencipta yang Maha Esa lagi Maha Agung serta memberi manfaat kepada agama, diri dan orang lain.
“Taqabballallahu minna wa minkum. Eiduladha Mubarak. Maaf zahir dan batin,” tulisnya.
Meninjau ruangan komen, rata-rata rakan selebriti dan peminat berharap untuk menjadi menjadi tetamu ALLAH ke tanah Suci menunaikan ibadah haji di samping memanggil Lisa dengan gelaran hajah.
"Masya-ALLAH ya Hajah, haji mabrur amin."
"Masya-ALLAH hajah."
"Doakan giliran saya tahun depan."
"Masya-ALLAH what a beautiful journey. Semoga dipermudahkan segala urusan Lisa di sana dan selamat pulang ke pangkuan keluarga tercinta."

![Tular Penunggang Motosikal Bertekak Dengan Geng Supercar Selepas Nyaris Dirempuh Di Jalan Raya [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/Penunggang-Motosikal-Tegur-Geng-Supercar-pandu-kereta-laju-1.jpg?t=1780339228)

