
KUALA LUMPUR: NONGSHIM, pengeluar jenama mi segera nombor satu Korea, SHIN Ramyun, memperkukuh komitmen di negara ini dalam usaha menjadikan Malaysia pasaran strategik untuk pertumbuhan jangka panjang syarikat di peringkat global.
Komitmen itu melalui platform hiburan popular seperti program realiti Big Stage Rocketfuel yang dapat mendekatkan lagi jenama SHIN Ramyun dengan golongan muda.
Ketua Pegawai Eksekutif/Presiden NONGSHIM, Antonio Jo berkata, komitmen itu dibuktikan apabila NONGSHIM telah melabur ke atas generasi pengguna muda tempatan menerusi makanan Korea yang asli, premium dan Halal di samping kekal menghormati budaya tempatan.
Beliau berkata, melalui kerjasama itu, Syarikat berharap dapat membina hubungan emosi yang lebih dekat dengan generasi muda Malaysia yang akan datang bagi melangkaui strategi baharu dalam pengiklanan dengan mencipta pengalaman pengguna yang bermakna.
“Selain itu, Malaysia mewakili salah satu pasaran paling menarik di Asia Tenggara buat syarikat di mana pengguna menghargai makanan asli Korea sambil mengutamakan kualiti dan jaminan Halal,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Antonia, sebagai jenama ramyun ikonik Korea, Syarikat perlu berhubung dengan golongan muda yang berada dalam era digital pantas, sentiasa terhubung dengan internet dan mendambakan kebebasan digital serta gaya hidup tanpa sempadan.
Beliau berkata, daripada pengiklanan tradisional, NONGSHIM kini mencipta pengalaman baharu yang tidak dapat dilupakan melalui hiburan, kandungan digital, kerjasama pempengaruh dan penglibatan pengguna untuk membina daya tarikan jenama yang berkekalan.
Katanya, anak muda Malaysia hari ini sedia terhubung secara global dan mereka menikmati kandungan seperti makanan sambil mengharapkan jenama yang memberikan keaslian rasa Korea, ketelusan dan keterjaminan Halal.
“Seiring peningkatan populariti di peringkat global, NONGSHIM akan terus mengembangkan rangkaian produknya dengan perisa-perisa inovatif yang memenuhi cita rasa pengguna yang sentiasa berubah,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Komersial GBA Corporation Sdn. Bhd., Foo Siew Kheng berkata, pengguna pada era kini memilih untuk merasai pengalaman asli dan jenama yang memahami gaya hidup mereka.
Katanya, melalui Big Stage Rocketfuel, Syarikat memperkenalkan NONGSHIM kepada generasi muda menerusi pendekatan yang lebih relevan, menarik dan bermakna.
“Hubungan yang dibina melalui budaya, hiburan dan muzik dapat mencipta pengalaman bermakna serta mendekatkan jenama kepada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
GBA Corporation merupakan pengedar utama produk makanan NONGSHIM di negara ini. – UTUSAN
The post NONGSHIM perkukuh komitmen jadikan Malaysia pasaran strategik appeared first on Utusan Malaysia.






