
KUALA LUMPUR: Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris, tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk kembali bekerjasama dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi rakaman lagu baharu.
Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani berkata, harapan peminat yang ingin melihat mereka kembali bergandingan dalam sebuah karya muzik baharu merupakan penghargaan besar buat dirinya.
Namun, menurut penyanyi Dikir Puteri itu, sebarang perancangan ke arah tersebut bergantung kepada persetujuan serta kesediaan Siti Nurhaliza.
“Besar sangat harapan itu. Siapalah saya ini.
“Semuanya bergantung kepada Datuk Seri Siti. Saya sebenarnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk berduet, tidak kiralah menerusi lagu apa atau dalam konsep bagaimana sekali pun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Noraniza berkata, komitmen seni yang padat selain jadual kerja masing-masing menjadi antara faktor impian itu belum dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
“Masing-masing ada komitmen. Saya juga sedang menyiapkan single baharu yang perlu diselesaikan.
“Jadi, buat masa ini saya mahu memberikan tumpuan kepada perancangan yang sedang dijalankan terlebih dahulu,” katanya.
Untuk rekod, Noraniza dan Siti Nurhaliza pernah bergandingan menerusi album irama Malaysia, Seri Balas, yang diterbitkan pada 1999. -UTUSAN
The post Noraniza Idris sedia rakam lagu baharu bersama Siti Nurhaliza appeared first on Utusan Malaysia.


![[VIDEO] ‘Saya cakap, konsert ini memang kena ada Noraniza Idris’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/photo-output-9-1024x577.jpeg)



