
LONDON: Juara dunia Formula Satu (F1), Lando Norris mengakui dia layak menerima pendapatan setara dengan dua juara dunia, Lewis Hamilton dan Max Verstappen.
Norris, 26, baru-baru ini melanjutkan kontrak bersama McLaren sehingga penghujung musim 2030, dengan perjanjian baharu itu dilaporkan menyaksikan pendapatannya meningkat kepada kira-kira 30 juta pound (RM163 juta) setahun.
Jumlah berkenaan meletakkan pelumba Britain itu sebagai pelumba ketiga berpendapatan tertinggi dalam F1, di belakang Verstappen dan Hamilton.
“Saya rasa saya sepatutnya memperoleh pendapatan sebanyak mereka, tetapi malangnya ia tidak hampir dengan angka yang saya lihat dalam talian.
“Sudah tentu, ia lebih tinggi berbanding kontrak terdahulu, seperti mana-mana pekerjaan apabila anda melanjutkan kontrak. Tetapi ia sememangnya tidak hampir dengan tahap Lewis atau Max.
“Dalam satu aspek, ia memang tidak sepatutnya sama kerana saya belum mencapai sebanyak apa yang mereka capai dalam karier masing-masing.
“Tetapi dalam aspek lain, saya percaya ia sepatutnya sama kerana saya mampu bersaing dengan mereka apabila diperlukan dan melakukan tugas lebih baik apabila diperlukan,” katanya.
Norris bagaimanapun mengakui dia masih perlu membuktikan dirinya sebelum mampu menyamai pendapatan kedua-dua juara dunia berkenaan.
“Saya sedang berusaha ke arah itu. Saya tidak tahu bila lanjutan kontrak saya seterusnya, tetapi harapnya suatu hari nanti saya boleh menyamai mereka. Saya mengimpikan untuk melihat angka seperti yang saya lihat dalam talian itu,” katanya. – AGENSI
The post Norris tuntut gaji setara Hamilton, Verstappen appeared first on Utusan Malaysia.



