
SELEPAS hampir sedekad menyepi, deruman enjin jentera Formula Satu (F1) akan kembali menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang apabila ia bakal menjadi lokasi kepada perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain Oktober depan.
Pengumuman yang dibuat penganjur F1 turut menerima reaksi positif daripada peminat tempatan, terutama bagi penggemar perlumbaan jentera empat roda itu.
Apa yang pasti, kepulangan F1 ke Sepang menghidupkan semula nostalgia selain mengembalikan memori indah ketika Malaysia berada dalam kalendar perlumbaan pada 1999 hingga 2017.
Litar Sepang pernah menyaksikan kehebatan jaguh-jaguh dunia, termasuk Michael Schumacher, Fernando Alonso, Sebastian Vettel, Lewis Hamilton dan kali ini bakal diwarnai dengan generasi baharu seperti Lando Norris, George Russell dan Kimi Antonelli.
Perlumbaan berskala besar seperti F1 bukan sahaja memberi impak kepada sukan permotoran itu sendiri, malah komuniti setempat juga bakal menerima ‘tempias’ selain merancakkan sektor pelancongan negara.
Ia dapat dibuktikan apabila sebahagian besar tempat penginapan di sekitar Sepang dan Putrajaya sudah habis ditempah bermula 2 hingga 4 Oktober nanti.
Bekas pelumba F1 negara, Alex Yoong menyambut baik keputusan kerajaan yang bersetuju untuk menganjurkan perlumbaan GP Bahrain kerana ia mampu menjadi pencetus sokongan kepada sukan permotoran negara.
“Sangat teruja apabila mendengar F1 kembali dibincangkan bersama Sepang. Sebagai bekas pelumba yang banyak berkembang di Malaysia dan rantau ini, saya gembira untuk melihat litar dari Asia Tenggara kembali berada dalam kalendar.
“Harapan saya supaya perlumbaan ini mampu menyalakan semula sokongan kepada ekosistem sukan permotoran tempatan, bermula dari perlumbaan sim, go-kart serta ke kejohanan antarabangsa,” katanya.
Penulis juga menganggap perlumbaan F1 ketika ini sudah semakin menarik selepas beberapa pembaharuan, termasuk menyiarkan siri dokumentari Drive to Survive di Netflix yang memaparkan aksi di belakang tabir perlumbaan terulang itu.
Sudah pasti generasi baharu yang mengikuti siri dokumentari itu sangat teruja dengan perkembangan positif ini dan tidak akan melepaskan peluang untuk merasai pengalaman di depan mata mereka sendiri.
Bekas Pengerusi SIC, Tan Sri Mokhzani Mahathir turut menyuarakan keyakinan perlumbaan di Sepang nanti akan berlangsung dalam suasana cukup meriah kerana ia bukan sahaja menarik peminat tempatan, malah di seluruh rantau Asia.
“Saya tidak sangka F1 boleh kembali ke Sepang. Saya juga yakin perlumbaan ini akan disambut dengan sangat meriah oleh peminat sukan permotoran di Malaysia dan seluruh rantau Asia.
“Ia turut memberi peluang kepada generasi baharu peminat F1, khususnya mereka yang mengenali sukan ini menerusi siri dokumentari Netflix Drive to Survive untuk merasai sendiri pengalaman menyaksikan perlumbaan secara langsung,” ujarnya.
Kesimpulannya, kepulangan F1 ke Sepang bukan sekadar nostalgia tetapi turut menjadi peluang untuk Malaysia melonjak semula di pentas global selain menyalakan semula semangat peminat sukan permotoran negara.
The post Nostalgia kembali, F1 tunggu masa gegar Sepang appeared first on Kosmo Digital.






