Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kekal sebagai antara litar Formula 1 (F1) terbaik pernah dibina dan masih memiliki nilai istimewa dalam dunia perlumbaan antarabangsa.
Bekas pelumba Formula 1 negara, Alex Yoong Hanifah menyifatkan Sepang bukan sahaja dikenali dalam kalangan peminat, malah terus dihormati oleh pelumba generasi baharu walaupun sebahagian daripada mereka belum pernah beraksi di litar ikonik itu.
Menurut Alex, ramai pelumba muda mengenali Sepang sejak kecil menerusi permainan simulasi dan permainan video Formula 1 yang memberi pengalaman berlumba secara maya di litar berkenaan.
“Kebanyakan pemandu muda belum pernah berlumba di Litar Sepang. Tetapi mereka membesar dengan bermain permainan simulasi di PS5 dan permainan Formula 1,” katanya menerusi temu bual bersama Fly FM.
Beliau berkata, pengalaman berulang kali berlumba di Sepang secara maya membuatkan litar itu kekal dekat dengan generasi baharu pelumba, selain membuktikan reka bentuknya masih relevan dalam dunia perlumbaan moden.
Mengulas mengenai hasrat membawa semula Formula 1 ke Malaysia, Alex menyambut baik langkah berkenaan dan menyifatkannya sebagai perkembangan positif buat negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan aspek kos perlu dipertimbangkan dengan teliti supaya penganjuran perlumbaan berprestij itu tidak memberi beban kewangan kepada pihak terbabit.
“Bagi saya, memang sesuatu yang hebat jika kita dapat membawa Formula 1 kembali. Saya juga percaya kita tidak perlu menanggung kos penganjurannya dan itu adalah perkara terbaik. Jadi, saya fikir itu satu situasi yang menguntungkan semua pihak,” katanya lagi.
Alex berkata, beliau berharap Formula 1 dapat kembali ke Malaysia untuk tempoh panjang sekiranya kos penganjuran berada pada tahap yang berpatutan, terutama ketika kos perlumbaan global semakin meningkat.
Artikel lain: Harga Tiket F1 Bawah RM100? Tak Mungkin! SIC Masih Berunding, Keputusan Akhir Di Tangan Bahrain
Dalam pada itu, bekas pelumba negara tersebut turut berkongsi pandangan mengenai prestasi pasukan McLaren yang dilihat semakin kukuh dan mampu terus bersaing di kelompok hadapan.
Menurutnya, prestasi pasukan itu ketika beraksi di Hungary menunjukkan mereka berada pada tahap kompetitif, walaupun setiap litar mempunyai cabaran tersendiri.
Untuk rekod, Malaysia pernah menjadi tuan rumah Grand Prix Formula 1 dari 1999 hingga 2017 di Litar Antarabangsa Sepang sebelum perlumbaan itu dihentikan berikutan peningkatan kos penganjuran serta penurunan jumlah kehadiran penonton.
Bagaimanapun, sehingga kini Sepang kekal sebagai antara litar paling dikenang dalam kalangan peminat dan pelumba F1 dunia, hasil reka bentuk mencabar serta reputasinya sebagai salah satu litar moden terbaik yang pernah dibina.
Sumber: TikTok FLY FM
The post Bukan Sekadar Kenangan F1! Alex Yoong Akui Sepang Antara Litar Moden Terbaik Dunia appeared first on Borak Daily.












