Nothing Phone (4b) dan Ear (3a) tiba di Malaysia, harga RM1,599 dan RM399

LocalDigital
9 Sep 2026 • 7:26 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

Nothing Phone (4b) dan Ear (3a) tiba di Malaysia, harga RM1,599 dan RM399

Nothing memperkenalkan Nothing Phone (4b) pada Julai lalu. Selepas lebih daripada sebulan, Nothing akhirnya mengesahkan telefon pintar kelas pertengahan tersebut bakal tiba di Malaysia pada 20 September 2026, bersama-sama dengan fon putik Nothing Ear (3a).

Lebih menarik, sempena pelancaran di Malaysia, Nothing turut menawarkan diskaun RM100 untuk Phone (4b), selain memberikan beberapa hadiah percuma kepada pembeli awal.

Harga dan ketersediaan Nothing Phone (4b) dan Ear (3a)

Nothing Phone (4b) ditawarkan dalam satu varian 8GB+128GB pada harga RM1,599 di Malaysia. Namun, pembeli awal mendapatkannya pada harga promosi RM1,499, iaitu RM100 lebih murah daripada harga biasa

Tawaran pembelian awal ini berlangsung dari 8 September hingga 20 Oktober 2026, selagi stok masih ada. Pembeli turut akan meneriman beg galas Nothing Foldable Backpack dan tali Nothing Phone Wrist Strap secara percuma.

Bagi Nothing Ear (3a) pula, ia ditawarkan pada harga RM399 dan tersedia dalam empat pilihan warna iaitu pink, putih kuning dan hitam.

Tempahan awal untuk kedua-dua peranti ini dibuka mulai 8 September 2026, jam 8 malam, menerusi laman rasmi Nothing Malaysia, Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

Jualan rasmi pula bermula pada 20 September 2026, dengan kedua-dua produk boleh didapati menerusi saluran dalam talian yang sama serta pengedar sah Nothing seperti Nothing Image Store, TMT dan Urban Republic.

Spesifikasi Nothing Phone (4b)

Nothing Phone (4b) dilengkapi dengan skrin 6.77″ Super AMOLED Full HD+ yang menyokong kadar segar semula adaptif 120Hz, HDR10+, kecerahan puncak mencapai 2,000 nits. Ia juga mempunyai kadar pensampelan sentuhan segera 1,000Hz untuk tindak balas sentuhan yang lebih pantas.

Ia turut dilengkapi dengan lampu Glyh Bar yang terdiri daripada 45 lampu mini-LED yang boleh dikawal secara individu dengan tahap kecerahan sehingga 3,500 nits (sebagai perbandingan, Phone (4a) mempunyai 63 lampu mini-LED).

Atas papan utama, ia diperkasa cip kelas pertengahan Snapdragon 6 Gen 4, yang dipadankan bersama RAM LPDDR4X seluas 8GB dan storan dalaman UFS 2.2 128GB. Phone (4b) menjalankan Nothing OS 4.1 berasaskan Android 16. Sistem operasi ini turut membawa integrasi Google Gemini dan ChatGPT. Dari segi sokongan perisian, Nothing menjanjikan tiga kemas kini versi Android utama serta enam tahun kemas kini keselamatan untuk telefon ini.

Untuk fotografi, Nothing Phone (4b) dilengkapi sistem dwikamera belakang. Ia terdiri daripada kamera utama 50MP dengan sokongan penstabilan OIS dan EIS, serta kamera ultralebar 8MP dengan sudut pandangan 119.5 darjah. Di bahagian hadapan pula terdapat kamera selfie 16MP.

Telefon pintar ini menyokong rakaman video resolusi 4K pada kadar 30fps serta memperkenalkan fungsi dual video capture yang membolehkan pengguna merakam menggunakan kamera hadapan dan belakang secara serentak.

Menyalurkan tenaga pada telefon adalah bateri 5,200mAh yang menyokong  pengecasan pantas berwayar 33W yang mampu mengecas bateri sehingga 50% dalam masa kurang daripada 30 minit. 

Antara ciri-ciri lain yang turut dimuatkan termasuklah pembesar suara stereo, penarafan kalis percikan air dan debu IP64, vapour chamber seluas 4,400mm² untuk sistem penyejukan, serta integrasi asli untuk aplikasi ChatGPT, Google Gemini, dan fungsi Circle to Search.

Terdapat juga butang Essential Key yang memberikan akses pantas kepada ciri Essential Space, Essential Search, Essential Voice, dan Essential Apps. Dari segi sambungan, ia menyokong 5G, WiFi 6, Bluetooth 6.0 serta NFC.

Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Nothing Phone (4b).

Spesifikasi Nothing Ear (3a)

Bagi Nothing Ear (3a), ia mengekalkan reka bentuk bekas lutsinar seakan fon putik Nothing yang lain. Tetapi yang berbezanya, bekas pengecasannya kini dilengkapi lampu Status Light matriks 3-LED baharu, yang menggunakan corak cahaya berbeza untuk memberikan maklumat kepada pengguna.

Salah satu ciri baharu Ear (3a) ialah Audio Capture, yang membolehkan pengguna melakukan lebih banyak perkara terus melalui fon telinga. Turut disertakan adalah fungsi Audio Snapshot, yang membolehkan pengguna simpan idea atau maklumat berguna daripada media yang sedang dimainkan melalaui storan dalaman terbina bersaiz 32MB, serta Call Recording yang memudahkan pengguna simpan maklumat penting daripada perbualan untuk rujukan kemudian.

Dari segi audio, Ear (3a) menggunakan pemandu dinamik 12mm dan turut menyokong penyaring hingar aktif (ANC) sehingga 45dB.I a turut memperkenalkan Static Spatial Audio dan Advanced EQ 8-band buat pertama kalinya dalam siri TWS Ear (a) Nothing, memberikan pengguna lebih kawalan terhadap pengalaman mendengar menerusi aplikasi Nothing X.

Dari segi bateri, Ear (3a) mampu bertahan sehingga 42 jam jumlah masa main bersama bekas pengecasan, manakala pengecasan pantas selama lima minit sahaja sudah cukup untuk memberikan sehingga satu jam masa main tambahan.

Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Nothing Ear (3a).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved