
PETALING JAYA: Golongan wanita diberi pendedahan mengenai aplikasi teknologi nuklear secara aman dan selamat menerusi Program Advokasi Nuklear: Nuklear untuk Rakyat (N.U.R) @Wanita di RekaScape, Cyberjaya hari ini.
Program anjuran Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) itu memberi tumpuan kepada wanita sebagai antara kumpulan strategik dalam menyampaikan maklumat berkaitan sains dan teknologi (S&T) kepada keluarga serta komuniti.
“Peranan ini penting memandangkan wanita sering menjadi antara sumber rujukan dalam membentuk kefahaman, membuat keputusan serta menyampaikan maklumat kepada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling.
“Melalui pendekatan berasaskan fakta dan penyampaian maklumat yang mudah difahami, program ini diharap dapat membantu menangani salah faham serta persepsi negatif terhadap teknologi nuklear, di samping meningkatkan kefahaman dan keyakinan masyarakat terhadap manfaat penggunaannya,” kata agensi itu dalam kenyataan.
Program yang turut mendapat kerjasama Bioeconomy Corporation (BEC), selain sokongan Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) dan Pusat Sains Negara (PSN) itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datin Safida Zalma Mohd. Piah.
N.U.R@Wanita turut menjadi platform memperkenalkan aplikasi teknologi nuklear yang berkaitan dengan kehidupan seharian kepada peserta menerusi pendekatan lebih mudah difahami dan interaktif.
Menurut Nuklear Malaysia, wanita turut mempunyai peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan literasi sains kepada keluarga serta komuniti, khususnya dalam membantu membentuk kefahaman dan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat.
Pelbagai aktiviti disediakan kepada peserta daripada pelbagai peringkat umur, antaranya Cabaran Inovasi Masakan Ubi Kayu Nuklear, STEM Escape Room, pertandingan mewarna dan sesi perkongsian Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R).
Pelaksanaan N.U.R@Wanita antara usaha MOSTI melalui Nuklear Malaysia dalam menyokong Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030, khususnya dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap teknologi berkenaan.
Inisiatif itu turut selari dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 yang memberi penekanan kepada pengukuhan ekosistem sains, teknologi dan inovasi negara, katanya.-UTUSAN
The post Nuklear Malaysia perkasa wanita dalam advokasi nuklear appeared first on Utusan Malaysia.






